اَلْحَمْدُ
ِللهِ الَّذِى خَلقَ الموْتَ وَالحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أيُّكُمْ أحْسَنُ عَمَلا
، َأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ،
وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ
إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ .
أَمَّا
بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى
اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ .
Yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu
kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan
hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan
untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah,
sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah [swt] dengan kita
mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan
setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan menanti buat mereka
yang bertakwa kepadaNya di dunia dan juga di akhirat.
Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,
Firman Allah [swt] ;
[1]
Mafhumnya : Wahai orang-orang yang beriman! perangilah
orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu, dan biarlah mereka
merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu, dan
ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa (dengan
memberikan pertolonganNya).
Pada bulan Rejab, tahun ke-9 hijrah, Rasulullah [saw] mendapat
maklumat daripada risikan mengatakan bahawa Rom sedang mempersiapkan satu
angkatan tentera untuk memerangi Kota Madinah. Empayar Rom
merupakan sebuah kerajaan yang besar dan kuat pada ketika itu, dan selalu
mencapai kemenangan di dalam peperangan yang disertainya. Disebabkan kekuatan
tentera Rom yang semakin kuat dan gagah, Maharaja Rom pada ketika itu merasakan
bahawa mereka perlu mengembangkan lagi pengaruhya sehingga ke pelusuk negara-negara
Arab. Disamping itu mereka mendapat khabar berita yang mengatakan bahawa sebuah
kerajaan baru yang digelar Kerajaan Islam
sedang mula meluaskan sayapnya di seluruh tanah Arab. Lalu Maharaja Rom
berhasrat besar untuk menyerang wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Nabi Muhammad
[saw] pada ketika itu.
Peperangan ini berlaku ketika cuaca yang amat panas, ditambah pula
dengan kemarau yang sangat kuat. Manakala hasil tanaman pula sedang masak dan
hanya menunggu masa sahaja untuk dituai. Ini semua menjadi faktor penyebab sebahagian
kalangan muslimin merasa lebih selesa untuk menunggu dan memetik hasil tanaman
daripada keluar untuk berperang.
Rasulullah [saw] mengarahkan tentera-tentera Islam supaya bersiap
sedia untuk menghadapi pihak musuh. Baginda menyeru kalangan para sahabat yang
kaya dan berharta untuk memberikan sumbangan berbentuk kelengkapan perang dan
keperluan-keperluan tentera Islam. Ramai kalangan para sahabat yang
membelanjakan harta mereka untuk menjayakan misi peperangan ini. Antaranya
Saidina Uthman Al-Affan [ra] menyumbang sebanyak 10,000 Dinar, 300 ekor unta
yang penuh denga barangan kelengkapan di atasnya serta 50 ekor kuda. Manakala
Saidina Abu Bakar As-Siddiq [ra] pula menyumbang keseluruhan hartanya sebanyak
4000 Dirham, sehinggakan tidak ditinggalkan sedikit pun untuknya. Lalu Baginda
Rasulullah [saw] bertanya kepadanya, “Apakah yang kamu tinggalkan untuk ahli
keluargamu?”, lalu jawap Abu Bakar [ra], “Aku tinggalkan buat mereka Allah dan
juga RasulNya”.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Peperangan ini benar-benar menguji keimanan umat Islam dari
pelbagai sudut. Tabuk merupakan satu destinasi padang pasir yang terlalu jauh dan amat menyukarkan
para musafir. Sebab itu juga peperangan ini disebut sebagai “Ghazwah
Al-`Usrah” [ غزوة
العسرة ] atau
“Peperangan Yang Sukar”.
Walaupun dalam keadaan yang sukar, kalangan para sahabat yang
teguh keimanannya tidak pernah bersungut bahkan mereka sanggup pula
membelanjakan harta mereka untuk
menjayakan misi peperangan ini. Pun begitu ada juga kalangan sekumpulan para
sahabat yang sememangnya keimanan mereka tidak diragukan lagi, tidak turut sama
pergi ke Tabuk. Antaranya ialah Ka’ab bin Malik, Hilal bin Umayyah, Murarah bin
Al-Rabi’. Namun kemudiannya mereka ini diberi keampunan oleh Allah [swt]
setelah turunnya ayat 118 dalam Surah At-Taubah ; [2]
Mafhumnya : Dan (Allah
menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka)
hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka
dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita),
serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan)
Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadanya, kemudian Allah (memberi taufiq
serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah
Dialah penerima taubat lagi Maha Mengasihani.
Tentera Islam
telah bersiap sedia dengan 30,000 bala tentera termasuk 10,000 dari angkatan
berkuda. Pasukan besar ini telah dipimpin oleh Rasulullah [saw] sendiri. Dikhabarkan
tentera Rom pula telah dipimpin oleh Panglima Satria Hercules.
Berita
persiapan peperangan itu telah mendapat reaksi besar daripada masyarakat Arab
di bawah pemerintahan Rasulullah. Seorang ketua kaum munafiqin Arab ketika itu
yang bernama Abdullah bin Ubai bin Salul telah meminta keizinan daripada
Rasulullah [saw] untuk menyertai peperangan. Sebilangan dari kaum munafiqin
tidak mahu menyertai peperangan dengan alasan cuaca yang terlalu panas yang
mampu melemahkan mereka. Pada mulanya Rasulullah [saw] bersetuju untuk menerima
permohanan Abdullah bin Ubai, namun Allah [saw] telah menegur Baginda Rasulullah
[saw] itu dengan menurunkan firmannya dalam Al-Quran yang bermaksud:[3]
Mafhumnya : Orang-orang
(munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan
mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah), dan mereka (sememangnya)
tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan
sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata; "Janganlah
kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini".
Katakanlah (Wahai Muhammad); "Api neraka jahannam lebih panas
membakar", kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.
Akhirnya Rasulullah
[saw] tidak menerima permohonan mereka untuk turut sama dalam peperangan Tabuk.
Abdullah bin Ubai bin Salul juga turut menghasut dengan berkata ;
“Muhammad ingin berperang dengan kaum berkulit kuning (bangsa Rom)
dalam keadaan kita menghadapi kepayahan, kemarau dan tempat yang dituju pula
jauh (yakni Tabuk). Apakah dia menyangkan bahawa berperang dengan bangsa Rom
ini satu permainan?”.
Dalam perjalanan menuju ke Tabuk, tentera Islam diuji lagi oleh
Allah [swt] dengan ketiadaan air dan cuaca pula amat terlalu panas. Sebahagian
para sahabat mengadukan hal ini kepada Baginda Nabi [saw], lalu Baginda Nabi
[saw] berdoa kepada Allah [swt], dan kemudiannya diturunkan hujan yang lebat
sehinggakan orang Islam dapat minum dan mandi dengan sepuas-puasnya.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Tidak ada pertempuran berlaku apabila Nabi Muhammad [saw] sampai
di Tabuk. Ini disebabkan Tentera Rom tidak berani untuk meneruskan peperangan
kerana gerun kepada Tentera Islam pimpanan Baginda Nabi [saw].
Setibanya
angkatan Tentera Islam di Tabuk, Rasulullah [saw] telah mengadakan 'Perjanjian
Damai' dengan penduduk di sekitar Tabuk. Rasulullah [saw] telah memberi jaminan
keselamatan dan keamanan kepada penduduk Tabuk selagimana mereka tidak
menyebelahi musuh Islam dalam memerangi dan berbuat khianat terhadap Islam.
Setelah itu seorang penguasa Ilah (sebuah kawasan berdekatan Tabuk) yang
bernama Yuhana bin Ru'bah datang meminta perdamaian bersama Rasulullah dan beliau
sanggup untuk membayar jizyah. Tujuan Rasulullah [saw] berbuat sedemikian
bukanlah untuk memonopoli kekayaan penduduk Tabuk atau membuat kejahatan kepada
mereka. Tetapi Rasulullah [saw] berbuat sedemikian adalah kerana untuk
menguatkan benteng perpaduan dan pertahanan Islam, di samping menyampaikan
dakwah Islam serta menyekat pergerakan musuh supaya tidak menggunakan sempadan
Syam sebagai pengkalan perang mereka. Akhirnya semua kabilah Arab di Tabuk
menerima tawaran Rasulullah [saw] itu dengan tangan terbuka.
Rasulullah [saw]
telah berjaya menggerunkan pasukan tentera yang besar iaitu Tentera Rom di
bawah pimpinan Panglima Satria Hercules walaupun Kerajaan Islam pada ketika itu
masih baru. Hal ini disebabkan beberapa faktor yang besar antaranya ;
- Tentera Islam berperang atas jalan Allah [saw], dan dengan pertolongan daripada Allah, dan semata-mata kerana menjunjung titah perintah Allah [swt] dan RasulNya. Bagi Tentera Islam mati syahid itu adalah satu kemenangan yang besar.
- Dikatakan semasa angkatan Tentera Rom ingin memasuki wilayah Tabuk, Allah [swt] telah menghantar bantuan dari langit yakni para Malaikat. Dianggarkan sebanyak 100,000 para malaikat yang menyamar sebagai panglima-panglima tentera Islam yang berpakaian serba putih, berbadan besar, sasa dan tegap di samping mempunyai sut serta alatan tempur yang lengkap seperti angkatan berkuda dan memanah yang akhirnya menyebabkan Tentera Rom tidak berani mendekati bumi Tabuk.
Hal tersebut
segera mematahkan semangat Tentera Rom untuk memerangi Islam. Ini membuatkan
pihak Islam menang besar tanpa menerima pertumpahan darah sedikit pun.
بَارَكَ اللهُ لِيْ
وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ
الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ
إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ
وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ
وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ
التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment