Monday, 22 July 2013

Khutbah : Miskin Dan Kaya Satu Ujian



اَلْحَمْدُ ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ، اَللَّطِيْفِ الْخَبِيْرِ، اَلْحَسِيْبِ عَلَى كُلِّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ وَالْمُجَازِى لَهَا بِمَا عَمِلَتْ، وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. بَعَثَهُ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
 
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Firman Allah SWT:
    

Yang bermaksud : (dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (dia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takabbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!". Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"                                                          (Al-Fajr: 15-16).

Meneliti kandungan ayat di atas Allah SWT telah memandu kita dalam memahami situasi kehidupan manusia dengan lebih tepat dan betul. Ini kerana sememangnya manusia sering menyalah tafsirkan apa yang terjadi di sekelilingnya. Antara perkara yang disalah tafsirkan ialah soal kaya dan miskin, senang dan susah. 

Dua ayat yang dipetik dari surah Al-Fajr di atas secara jelas telah mendedahkan kepada kita tentang dua golongan manusia yang selalunya wujud dalam masyarakat. Golongan itu ialah:

Pertama: Golongan yang dikurniakan kekayaan. Golongan ini adalah lapisan masyarakat yang hidup dalam keadaan serba mewah dan memiliki wang yang serba cukup untuk membeli apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka. Sebahagian mereka mendakwa bahawa nikmat kekayaan yang mereka miliki ini adalah merupakan tanda kemuliaan dan rahmat Tuhan kepada mereka.

Oleh itu biasanya golongan ini akan sentiasa mempamerkan kelebihan mereka dari sudut kebendaan sama ada kenderaan, pakaian, makanan mahupun tempat kediaman mereka. Mereka juga hidup di kawasan yang setaraf dengan mereka yang agak jauh daripada golongan miskin. 

Termasuk di dalam golongan ini ialah mereka yang dikurniakan kedudukan dan kemenangan dalam merebut jawatan pemimpin dalam sesebuah organisasi mahupun negara. Sebahagian mereka mendakwa bahawa kedudukan tinggi ini adalah hasil kebenaran yang mereka perjuangkan. Pihak yang kalah pula didakwa sebagai tanda kesalahan dan tidak mendapat keberkatan dari Allah SWT.

Daripada aspek sebuah masyarakat dan negara, kekayaan dan sumber alam yang melimpah ruah juga didakwa sebagai lambang rahmat dan punca kemajuan negara. Justeru para pemimpin seringkali mengaitkan kekayaan tersebut sebagai bukti kebaikan dan kebijaksanaan memerintah negara. Inilah pegangan kebanyakan mereka yang salah pemikiran dan fahamannya.

Namun demikian Allah s.w.t. telah membetulkan persepsi di atas dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberikan kesenangan, Maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”.                                                 (Al-Fajr:15)

Ayat ini menjelaskan tabiat majoriti manusia yang menilai kekayaan dan kesenangan yang dimiliki sama ada dari aspek material mahupun pangkat sebagai satu kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka, sedangkan semuanya adalah merupakan satu ujian kepada mereka. 

Allah SWT sedang menguji golongan ini apakah kekayaan yang diberikanNya itu diurus berpandukan syariat Allah ataupun sebaliknya? Seperti yang dihuraikan oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili di dalam tafsirnya Al-Munir bahawa Allah SWT menempelak mereka yang membuat dakwaan seperti di atas. Kerana pada hakikatnya kemuliaan di sisi Allah bukanlah diukur dari sudut kekayaan dan kemewahan tetapi kemuliaan di sisi Allah diukur menurut ketaqwaan dan keimanan seseorang seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Katsir r.h di dalam tafsirnya.

Jika kaya sepatutnya seseorang itu bersyukur dengan menambahkan lagi amal kebajikan dan ibadah seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Katsir r.h di dalam tafsirnya. Ini kerana kekayaan dan kesenangan biasanya akan menghanyutkan manusia dan membawa mereka kepada kekufuran.

Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Qarun. Akibat dari kekayaan yang melimpah ruah serta melampau yang dikurniakan kepadanya telah menjerumuskannya ke lembah kekufuran kepada Allah.
Firman Allah SWT;

Yang Bermaksud : Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Nabi Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga! Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”.                               Surah Al-Qasas :76

Juga apa yang berlaku kepada Firaun! Hasil segala kesenangan, kekayaan dan kedudukan yang dimilikinya menyebabkan dia kufur kepada Allah. Malah dengan angkuh dia mengaku dirinya sebagai Tuhan yang amat berkuasa.
Sebagai muslim sewajarnya kita menyedari bahawa nikmat kekayaan dan kesenangan adalah ujian yang amat sukar untuk dihadapi oleh manusia. Ini kerana biasanya golongan kayalah yang selalunya hanyut dengan kehidupan dan sanggup melakukan apa sahaja demi menjamin keselamatan harta benda mereka. 

Dalam sejarah kebangkitan Islam kita dapati golongan yang paling kuat menentang dakwah Nabi Muhammad SAW adalah datang dari kalangan bangsawan dan mereka yang berkedudukan di dalam masyarakat. Ini kerana kekayaan menyebabkan mereka sombong dan bongkak lantas tidak mahu menerima kebenaran.

Kedua: Golongan kedua pula ialah golongan miskin. Biasanya golongan ini mempunyai tanggapan bahawa kesempitan hidup dan kesusahan yang menimpa mereka adalah merupakan satu bentuk penghinaan yang telah ditakdirkan ke atas mereka. 

Selalunya mereka akan merasa rendah diri, tidak mahu berusaha dan sering meminta-minta. Akibat dari tanggapan sedemikian menyebabkan adanya kalangan golongan miskin yang tidak mahu mengabdikan diri kepada Allah SWT kerana mereka buruk sangka kepada-Nya. 

Justeru Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

"Hampir-hampir kefakiran boleh membawa kepada kekufuran".
Allah telah menyatakan bahawa kemiskinan bukanlah tanda kebencian Tuhan atau penghinaan tetapi ia merupakan satu bentuk ujian kepada manusia. Sama ada ia dapat bersabar atau sebaliknya di dalam berhadapan dengan ujian ini. Firman Allah SWT,
 
Yang bermaksud : "Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”. (Al-Fajr: 16).

Ujian berbentuk kemiskinan juga amat sukar dihadapi oleh manusia kerana dengannya menyebabkan manusia terlalu bergantung kepada manusia yang lain dan hilang pergantungan dengan Allah Tuhan Yang Maha Pencipta. 

Kemiskinan boleh menyebabkan seseorang itu melakukan apa sahaja demi mendapat sesuap nasi. Meskipun apa yang dilakukan adalah haram. Kemiskinan juga boleh menjadikan seseorang menurut apa sahaja kehendak orang yang berkuasa ke atasnya meskipun jelas ia adalah bertentangan dengan syariat Allah. 

Di dalam sejarah tamadun manusia pemerintah yang kejam dan zalim menjadikan kemiskinan sebagai senjata untuk mengongkong dan memeras ugut rakyat agar terus memberikan sokongan kepadanya.

Kesimpulannya, kekayaan dan kemiskinan kedua-duanya adalah merupakan ujian kepada manusia di dunia ini. Bagi yang kaya, kekayaan boleh menghanyutkan mereka dalam arus kemurkaan Allah. Namun sebaliknya, jika kekayaan digunakan sebaik-baiknya, ia boleh menjadi pendorong kepada ketakwaan kepada Allah SWT. 

Sebabnya, dengan kekayaan akan memberikan seseorang ruang seluas-luasnya untuk bersedekah dan mendermakan harta ke jalan meningkatkan syiar Islam. Kemiskinan pula boleh menjadikan seseorang terdorong melanggar larangan Allah semata-mata untuk memperolehi harta kekayaan. 

Namun kemiskinan juga boleh menjadikan seseorang sentiasa insaf, ingat kepada Allah dan bergantung dengan-Nya sepanjang masa. Malah Rasulullah SAW amat suka berdampingan dengan golongan miskin kerana ia boleh melembutkan hati dan menyuburkan sifat tawaduk dan rendah diri.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ  بالقُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

Wednesday, 8 May 2013

Khutbah : Dosa Penderhaka



 اَلْحَمْدُ ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ، اَللَّطِيْفِ الْخَبِيْرِ، اَلْحَسِيْبِ عَلَى كُلِّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ وَالْمُجَازِى لَهَا بِمَا عَمِلَتْ، وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. بَعَثَهُ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah s.w.t, dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada mahupun di akhirat hanyalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

Yang bermaksud : Dan Tuhanmu telah memerintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapamu. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, telah sampai kepada umur tua, dan berada dalam jagaan serta peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan yang kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking atau menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka dengan kata-kata yang mulia (yang penuh bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendahkan dirimu kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata), "Wahai Tuhanku! cucurilah rahmatMu kepada mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mencurahkan kasih sayang mereka memelihara dan mendidikku semasa kecilku."
    (Al-Isra' 23-24)

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Ayat 23 dan 24 dari Surah Al-Isra’ yang dibacakan tadi, dan juga beberapa lagi ayat dari surah-surah yang lain cukup jelas untuk menggambarkan kepada kita bahawasanya, berbuat baik kepada kedua ibu bapa itu adalah merupakan satu perkara yang amat dituntut di dalam Islam, sehinggakan Allah s.w.t memerintahkan kita untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa selepas kita diperintahkan supaya  tidak menyembah tuhan yang lain kecuali Allah. Bahkan tuntutan berbuat baik kepada dua insan ini bukan sahaja disebut di dalam kitab suci Al-Quranulkarim, tetapi juga turut disebut di dalam kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, bahkan para nabi terdahulu juga diperintahkan untuk menyeru umat mereka agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Sehinggakan Allah s.w.t meletakkan keredhoanNya adalah bergantung kepada keredhoan kedua ibu bapa, dan kemurkaanNya juga bergantung kepada kemurkaan kedua ibu bapa. Sabda Nabi s.a.w,

رِضَا الرَّبِّ فى رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسَخطُ الرَّبِّ فى سَخطِ الوَالِدَيْنِ
Yang bermaksud : Keredhoan Tuhanmu terletak pada keredhoan kedua ibu dan bapamu, dan kemurkaan Tuhanmu terletak pada kemurkaan kedua ibu dan bapamu.

Ibu dan bapa adalah dua insan yang sangat istimewa. Lebih-lebih lagi si ibu, sebagai insan yang diberi tanggungjawap untuk mengandung dan melahirkan kita semua, dalam tempoh yang telah ditetapkan, bahkan terpaksa menanggung berbagai-bagai bentuk penderitaan dan susah payah untuk tempoh tersebut. Malahan ada yang terpaksa menggadaikan nyawa mereka semata-mata untuk melahirkan anak yang dikandung. Firman Allah s.w.t,


Yang bermaksud : Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya yang telah mengandungkannya dengan menanggung kesusahan demi kesusahan (sejak dari awal mengandung hinggalah selesai menyusukannya), dan tempoh menceraikan penyusuannya itu ialah dalam masa dua tahun, (oleh yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu, dan (ingatlah), kepada Aku jualah tempat kamu akan dikembalikan (untuk menerima balasan).                                
                                                       (Luqman : 14)

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Allah s.w.t memilih kaum wanita yang lemah berbanding kaum lelaki, kemudian diletakkan tanggungjawap untuk mengandung dan melahirkan anak di atas bahu mereka, oleh kerana kesusahan yang mereka tanggung adalah lebih berbanding si ayah, maka memang patutlah mereka mendapat penghormatan yang lebih berbanding si ayah. Hal ini pernah dinyatakan oleh Baginda Nabi s.a.w melalui sebuah hadis, 

عن أبي هريرة قال: جاء رجل إلى رسول الله فقال: يا رسول الله، من أحق الناس بحسن صحابتي؟ قال: أمك، قال، ثم من؟ قال، أمك: قال، ثم من؟ قال: أمك، قال: ثم من؟ قال: أبوك.

Yang bermaksud : Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya, telah datang seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “ Wahai Rasulallah! Siapakah manusia yang lebih berhak saya bergaul dengan baik?”, Nabi menjawap, “ibumu”. “Kemudian siapa?”, Tanya laki-laki tadi. Nabi menjawap, “ibumu”. “Kemudian siapa?” Tanya laki-laki tadi untuk kali yang ketiga dan Nabi menjawap, “ibumu”. “Kemudian siapa?” Tanya laki-laki tadi kali yang keempat, lalu jawap Nabi, “ayahmu”.

Dan diriwayatkan juga bahawasanya Abu Hurairah r.a, salah seorang sahabat Nabi yang cukup banyak meriwayatkan hadis, apabila setiap kali beliau hendak keluar dari rumah ibunya, Abu Hurairah akan berdiri di hadapan pintu rumah ibunya sambil berkata, “Salam sejahtera dan rahmat Allah serta keberkatanNya ke atasmu wahai ibuku” lalu jawap ibunya “Salam sejahtera dan rahmat Allah serta keberkatanNya ke atasmu wahai anak kesayanganku” kemudian dia berdoa untuk ibunya, “Semoga Allah merahmatimu seperti mana engkau telah merahmatiku ketika kecilku” lalu ibunya pun berdoa untuknya “Semoga Allah merahmati dirimu wahai anakku seperti mana engkau telah menggembirakan aku ketika dewasamu” dan inilah yang dilakukan oleh Abu Hurairah setiap kali beliau keluar dan masuk ke rumah ibunya.

Saudara-saudara sidang jumaat yang dikasihi,

Disebabkan pengorbanan dan kedudukan yang tinggi kedua-dua insan ini, maka penderhakaan terhadap mereka berdua adalah dianggap sebagai salah satu daripada dosa-dosa yang besar selepas dosa mensyirikkan  Allah s.w.t.

كل معصية تؤخر عقوبتها بمشيئة الله إلى يوم القيامة إلا العقوق، فإنه يعجل له في الدنيا، وكما تدين تدان.

Yang bermaksud : “Semua dosa akan ditangguhkan balasannya oleh Allah s.w.t sehinggalah hari kiamat dengan kehendak Allah s.w.t, kecuali dosa derhaka terhadap kedua ibu bapa, maka sesungguhnya Allah s.w.t akan menyegerakan balasannya kepada mereka yang menderhaka terhadap kedua ibu bapanya ketika dalam hidupnya di dunia, yakni sebelum dia meninggal. Apa yang kamu buat itulah yang akan kamu dapat sebagai balasannya.”

Mimbar ingin mengambil kesempatan, menyeru diri saya dan saudara-saudara sidang jumaat sekalian, janganlah kita melangkah keluar dari rumah Allah yang mulia ini, melainkan setelah kita berjanji kepada Allah s.w.t dan kepada diri kita sendiri, andainya berlaku diantara kita dan kedua ibu bapa kita perselisihan faham atau bermasam muka, maka inilah saat yang terbaik untuk kita sama-sama memperbetulkannya. Usah tertunggu-tunggu untuk memperbetulkan kesalahan kita kerana ajal kita, atau mungkin ajal mereka akan datang pada bila-bila masa sahaja. Jika masih ada di kalangan kita yang sering menyakiti hati kedua-dua insan mulia ini, maka berjanjilah di dalam tempat yang mulia ini yang kita akan berbakti kepada mereka selagi hayat mereka ada. Sebagaimana kita mahukan anak-anak kita berbakti kepada kita di hari tua kita nanti, begitulah juga perlunya kita berbakti kepada kedua orang tua kita pada hari ini. Tidak ada maknanya kejayaan dan kemewahan yang kita kecapi pada hari ini andainya kejayaan dan kemewahan tersebut tidak diiringi doa dan restu mereka berdua.

Rebutlah peluang yang masih ada untuk menjaga dan memelihara mereka, lebih-lebih lagi di saat mereka meniti usia tua, kerana pada saat inilah mereka amat memerlukan kasih sayang dan perhatian kita. Janganlah biarkan hati mereka tertutup untuk tinggal atau singgah di rumah kita yang seindah istana disebabkan layanan buruk kita atau isteri kita, atau anak-anak kita  terhadap mereka. 
Ingatlah pesanan berguna dari Rasulullah s.a.w ini, pesan Baginda,
“Khabarkanlah berita gembira kepada mereka yang berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, buatlah apa saja kerana bahawasanya Allah s.w.t akan mengampuni dosa-dosa mereka. Dan khabarkan berita buruk kepada mereka yang menderhakai kedua ibu bapanya, buatlah seberapa banyak ibadah yang disukai tetapi Allah s.w.t tidak akan memberikan keampunan sedikitpun kepadanya”.

Barangsiapa yang telah melakukan ketaatan dan kebaikan kepada mereka berdua, maka teruskanlah. Jika kedua-dua mereka sudah pergi menghadap ilahi, maka perbanyakkanlah sedekah untuk pihak mereka di samping hadiahkanlah mereka dengan doa. Ini sedikit sebanyak akan dapat membantu meringankan bebanan hidup mereka di sana.
 
Yang bermaksud : Katakanlah : "Marilah supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhanmu kepadamu, iaitu janganlah kamu sekutukan Allah dengan sesuatupun, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu, dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takutkan kepapaan, sebenarnya Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu menghampiri kejahatan-kejahatan zina sama ada yang terang daripadanya dan yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh seseorang yang telah diharamkan Allah untuk membunuhnya, melainkan dengan jalan yang dibenarkan oleh Syarak. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.                                                                                                            (Al-Ana’m 151)

بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ  بالْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

Khutbah : Yang Patah Tak Mungkin Tumbuh, Yang Hilang Tak Mungkin Berganti


اَلْحَمْدُ لِلّه رَبِّ الْعَالَمِيْنَ ، وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ ، وَلاَعُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ ، وَلاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ اْلعَلِيِّ اْلعَظِيْمِ . أَشْهَدُ أَنْ لآ َإِلهَ إِلاَّالله ُوَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ ، َالَمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِيْنُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ ، الصَّادِقُ الْوَعْدِ الأمِيْنُ . اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ أَفْضَلِ الْمَخْلُوقِيْنَ ، وَعَلى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ .


 

أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ الله ، إِتَّقُوا الله ! أُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى الله ،ِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

قال الله تعالى ، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ،

 
Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dalam erti kata yang sebenar, kerana taqwa itulah sebaik-baik bekalan untuk dipersembahkan kepada Allah. Berbahagialah mereka yang bertaqwa kepadaNya, kerana sesungguhnya kebahagian dan kejayaan hidup sama ada di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat adalah ditentukan oleh ketaqwaan dan keimanan kita kepadaNya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin A'mr bin Al-A'sh r.a katanya, "Aku mendengar Rasulallah s.a.w bersabda,"

 

إنَّ اللهَ لا يَقْبِضُ العِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ قُلُوْبِ الرِّجَالِ ، ولكِنْ يَقْبِضُ العِلْمَ بِمَوْتِ العُلَمَاءِ حَتَّى إذَا لمَ يَبْقَ عَالمٌ اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤوْسًا جُهَّالا فَسُئِلُوا فأفْتَوْا بغيرِ علمٍ فَضَلُّوا وأضَلُّوا .

Yang bermaksud : Sesungguhnya Allah s.w.t tidak mencabut ilmu itu secara sekaligus dari dada-dada manusia, akan tetapi Allah s.w.t mencabut ilmu itu dengan mematikan para ulama', sehinggakan apabila sudah tidak ada lagi orang a'lim di kalangan manusia maka manusia memilih ketua-ketua yang jahil, maka apabila ketua (pemimpin) yang jahil itu ditanya, lalu mereka memberi fatwa tanpa ilmu pengetahuan, maka mereka telah sesat dan menyesatkan orang lain.

Dunia hari ini menyaksikan bahawa benarnya sebagaimana yang telah diucapkan oleh Baginda Nabi s.a.w lebih 1400 tahun yang lalu. Golongan-golongan ulama' semakin berkurangan. Satu demi satu telah pergi meninggalkan kita. Pemergian yang tidak mungkin dapat dicari ganti. Walaupun pepatah melayu ada menyebut "patah tumbuh hilang berganti", namun pepatah ini amat tidak tepat dalam kes ini. Ulama' yang patah tak mungkin tumbuh kembali dan yang hilang tidak mungkin dapat dicari ganti. Bahkan akan sampai suatu masa dan ketika nanti kita akan melihat bagaimana permukaan bumi ini akan kosong daripada alim ulama'. Kehidupan pada waktu itu sudah tidak ada kebaikan dan keberkatannya lagi kerana dunia sudah dipenuhi dengan kesesatan.

Kita dapat merasai suasana ini pada hari ini di mana bilangan para ulama' atau tok-tok guru yang benar-benar a'lim dalam ilmu agama hanya tinggal sedikit sahaja dan usaha–usaha untuk melahirkan para ulama' pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Kalangan ibu bapa pula kurang berminat untuk menghantar anak-anak mereka ke pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kerana mungkin pada pandangan mereka pondok-pondok dan sekolah agama ini tidak mampu menjamin masa depan yang cemerlang buat anak-anak mereka. Sedangkan kita melihat bagaimana besarnya jasa pondok-pondok tradisional ini terhadap agama Islam. Sepatutnya institusi pondok ini diberi pembelaan oleh pihak kerajaan samaada dalam bentuk bantuan kewangan ataupun pengiktirafan. Walaupun mereka tidak memiliki sijil-sijil yang diiktiraf oleh kerajaan, namun ilmu yang ada dalam dada mereka jauh lebih tinggi dari ilmu yang dimiliki oleh mereka yang memiliki sijil dan kelulusan-kelulusan yang yang diiktiraf serata dunia.

Sesetengah ibu bapa lebih mengutamakan pendidikan di dalam bidang urusan keduniaan untuk mereka meraih kemewahan dunia yang sementara. Akhirnya, sekalipun anak-anak ini berjaya dalam bidang dunianya sehingga ke tahap tertinggi sekalipun tetapi sayang mereka buta agama,  tidak boleh membaca al-Quran, bahkan yang amat menyedihkan lagi ialah mereka jahil tentang ilmu-ilmu fardhu a'in. Apabila matinya ibu bapa maka sepatutnya anaklah yang lebih utama menjadi imam untuk solat jenazah mereka kerana itulah yang afdhalnya, namun disebabkan tidak ada ilmu, anak-anak bukan sahaja tidak mampu untuk mengimamkan solat jenazah ibu dan bapanya bahkan lansung tidak menunaikan solat jenazah untuk ibu dan ayahnya kerana jahil.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w,

عن علي رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :  يُوشِكُ أن يأتِيَ على الناسِ زمَانٌ لا يَبْقَى مِن الإسلام إلا اسْمُهُ ، ولا يَبْقَى من القُرآن إلا رَسْمُه ، مسَاجِدُهُم عامِرَةٌ وهي خَرَابٌ من الهُدَى ، عُلَمَاؤُهم شَرُّ مَنْ تحتَ أدِيْمِ السَّمَاءِ ، مِن عندِهم تخرُجُ الفتنةُ ، وفيهم تَعُودُ - رواه البيهقي في شعب الإيمان .

 

Yang bermaksud : Daripada A'li bin Abi Tholib r.a berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w : "Sudah hampir tiba satu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya sahaja, dan tidak tinggal daripada al-Quran itu kecuali tulisannya sahaja. Masjid-masjid mereka tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah. Ulama'-ulama' mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang berada di bawah naungan langit, dari mereka berpuncanya fitnah dan kepada mereka fitnah itu akan kembali".

                                         ( Riwayat Baihakhi )

 

Jika kita perhatikan dengan penuh keinsafan maka keadaan kita pada hari ini tidaklah begitu jauh daripada apa yang telah digambarkan oleh Baginda Nabi s.a.w ini. Kalau pun belum sampai ke tahap sebagaimana yang disebut oleh Baginda tetapi kita sudah terlalu dekat dengan zaman tersebut.

 

Manusia pada akhir zaman yang mengaku dirinya muslim namun cara hidupnya tidak sedikit pun menggambarkan bahawa dia seorang muslim. Muslimnya hanya pada nama dan kad pengenalan sahaja. Solatnya tidak dijaga, auratnya didedah merata-rata, rasuah semakin melata, maruah saudara seagama tidak dijaga dan hak jiran tetangga tidak dipelihara, sifat jujur dan amanah sudah tiada, perasaan malu juga semakin hilang dari dalam jiwa . Benarlah sebagaimana yang telah disebut oleh Baginda Nabi s.a.w,

 

يأتى على الناس زمانٌ لا تُطَاقُ المعيشةُ فيهم إلا بالمعصية حتى يَكْذِبَ الرَّجلُ ويَحْلِفُ ، فإذا كان ذلك الزمانُ فعليكم بالهرب ، قيل : يا رسولَ الله ! وإلى أين المهرب ؟ ، قال : إلى الله تعالى ، وإلى كتابه ، وإلى سنة نبيه .

Yang bermaksud : Akan tiba satu zaman di mana kamu tidak lagi mampu hidup melainkan akan terjebak juga dengan maksiat sehingga akan ada manusia yang sanggup menipu kemudian dia bersumpah mengatakan bahawa dia bercakap benar. Apabila tiba zaman itu maka hendaklah kamu lari. Ditanya kepada Rasulullah “ke mana kami hendak lari ya Rasulallah?. Lalu jawap Nabi, “larilah kepada Allah, kepada kitabNya al-Quran dan juga sunnah NabiNya”.

 

Baginda juga menyatakan bahawa al-Quran hanya akan tinggal pada tulisannya sahaja dan tidak lagi mampu dibaca. Bagaimana hendak membacanya jika tidak mempelajari ilmu Tajwid. Akibat tidak mempelajarinya menyebabkan seseorang itu buta al-Quran dan akhirnya lansung tidak mampu untuk membaca al-Quran, maka al-Quran hanya kekal pada mushaf atau tulisan tetapi tidak lagi mampu dibaca. Ayat-ayat al-Quran hanya untuk digantung didinding-dinding sebagai perhiasan. Didiklah anak-anak kita dengan ilmu al-Quran. Sesetengah ibu bapa lebih berbangga dengan anak-anak mereka yang pandai menyanyi dan menari. Kebanyakan kita susah hati jika anak-anak tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tetapi berapa ramai kalangan kita  yang susah hati jika anak-anak kita buta al-Quran?.

 

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

 

Masjid-masjid yang ada pada hari ini dibina dengan begitu hebat hinggakan menelan kos berjuta-juta ringgit tetapi sayang, ahli jamaah yang hadir ke masjid lebih sedikit jumlahnya dari jumlah anak tangga yang ada. Amat menyedihkan lagi apabila majlis-majlis ilmu yang dianjurkan juga tidak mendapat sambutan daripada anak-anak qariah. Masing-masing lebih suka duduk di rumah bermain dengan anak cucu serta melayan rancangan televisyen yang melalaikan. Akhirnya ramai yang mati dalam keadaan jahil ilmu agama. Kita sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk bersembang di keda-kedai kopi, mengayuh basikal berpuluh-puluh kilometer jauhnya tanpa rasa penat, memancing dari malam sampai ke pagi walaupun kadang-kadang seekor ikan pun tak dapat, pergi ke pasar malam atau pasar tani sehingga kadang-kadang terlepas waktu solat, tapi kita tidak mampu untuk memperuntukkan sedikit ruang dan masa untuk hadir ke masjid bagi solat jamaah serta mendengar kuliah-kuliah agama. Sedangkan itulah antara bekalan untuk di bawa ke akhirat. Sabda Nabi s.a.w,

 

إِذا مَرَرْتُم برِيَاضِ الْجنَّةِ فَارْتَعُوْا . قَالُوا : يَا رَسُولَ الله ، وَمَا رياضُ الْجنَّةِ ؟ قَالَ : حِلَقُ الذِّكْرِ

Yang bermaksud : Apabila kamu melalui kawasan kebun-kebun syurga maka hendaklah kamu singgah. Sahabat bertanya, “apakah yang dimaksudkan dengan kebun-kebun syurga itu ya Rasulallah?”. Lalu Nabi bersabda, “kebun-kebun syurga itu ialah halaqah-halaqah zikir (yakni majlis-majlis ilmu).

Firman Allah dalam ayat 33 surah Luqman :

أعوذ بالله من الشيطن الرجيم

 
Maksudnya : Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.