Kebanyakan koleksi khutbah Jumaat ini telah pun dihantar ke pihak Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kedah (JAHEIK) untuk dicetak dan diedarkan ke seluruh masjid-masjid di Negeri Kedah Darul Aman. Semoga perkongsian ini akan memberi manfaat buat kita semua. Sila edit serba sedikit untuk menyesuaikan isi khutbah dengan tempat, masa dan sebagainya. Semoga sumbangan ini diberi sebaik-baik balasan oleh Allah SWT.
Saturday, 29 September 2012
Khutbah : Jangan Biar Dunia Menipu Kita (Rakaman Masjid Bakar Arang Sg Petani)
http://www.ustream.tv/recorded/21459572
Khutbah : Syukur Merdeka
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ، وَلاَعُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ، وَلاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ اْلعَلِيِّ اْلعَظِيْمِ. أَشْهَدُ أَنْ لآ َإِلهَ إِلاَّالله ُوَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ، َالَمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِيْنُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الصَّادِقُ الْوَعْدُ الاَمِيْنُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ أَفْضَلِ الْمَخْلُوقِيْنَ، وَعَلى أَلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا
عِبَادَ الله، إِتَّقُوا الله، أُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى الله،ِ فَقَدْ
فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون
Yang bermaksud: Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan
meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan
apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan
bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang
kamu kerjakan.
Saudara-saudaraku sidang
jumaat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita
bertaqwa kepada Allah dalam erti kata yang sebenar, kerana taqwa itulah
sebaik-baik bekalan untuk dipersembahkan kepada Allah. Berbahagialah mereka
yang bertaqwa kepadaNya, kerana sesungguhnya kebahagian dan kejayaan hidup sama
ada di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat adalah ditentukan oleh ketakwaan dan
keimanan kita kepadaNya.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Yang
bermaksud : Dan Allah s.w.t membuat suatu perbandingan, sebuah negeri yang
penduduknya hidup aman dan damai lagi tenteram, sumber rezekinya datang dengan
mewah dari segenap tempat, kemudian penduduknya kufur terhadap nikmat-nikmat
Allah itu, lalu Allah s.w.t menimpakan kelaparan dan ketakutan ke atas mereka yang
meliputi keseluruhannya disebabkan kekufuran yang telah mereka lakukan. (An-Nahl
112)
Saudara-saudaraku
sidang jumaat yang dikasihi,
Ayat
112 yang dipetik daripada Surah An-Nahli itu tadi menceritakan kepada kita tentang
sebuah negeri iaitu Makkah, yang mana penduduknya hidup dalam keadaan aman dan
damai, mewah dengan berbagai sumber rezeki yang datang dari segenap penjuru
negeri. Namun kemewahan dan keamanan yang mereka kecapi tidak kekal lama
apabila penduduknya kufur dan menolak risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad
s.a.w, dan bukan sekadar menolak sahaja, bahkan Nabi dan para sahabat menerima
tentangan yang cukup hebat dari kaum musyrikin Makkah sehingga memaksa Nabi bersama para sahabat berhijrah
dari kota Makkah ke kota Madinah, lalu Allah s.w.t menimpakan bala’ kelaparan
disebabkan kekurangan sumber makanan, dan mereka juga ditimpakan bala’ ketakutan
akibat daripada peperangan Badar dan beberapa peperangan yang lain sebagai
balasan terhadap kekufuran mereka terhadap nikmat Allah dan penentangan yang
telah mereka lakukan terhadap Rasulullah s.a.w.
Saudara-saudaraku
sidang jumaat yang dikasihi,
Pada
tanggal 31 Ogos 1957 Tanah Melayu diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka
daripada penjajah. Namun kemerdekaan tersebut hanya dapat dicapai setelah
hampir 446 tahun Tanah Melayu dijajah oleh kuasa-kuasa asing. Tanah air kita
pernah dijajah oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan British buat kali
yang keduanya bermula dari tahun 1511 yakni selepas kejatuhan Kota Melaka
sehinggalah kemerdekaan dapat dicapai pada tahun 1957.
Beberapa
faktor kejatuhan Empayar Kota Melaka pada tahun 1511 dicatatkan di dalam
buku-buku sejarah. Mengikut fakta sejarah, antara sebab-sebab kejatuhan Kota
Melaka ke tangan Portugis ialah kelalaian dan ketidakcekapan pemimpin pada
ketika itu, amalan rasuah yang berleluasa di kalangan pemimpin dan rakyat, wujudnya
musuh dalam selimut, berleluasanya perasaan hasad dengki, fitnah memfitnah,
kelemahan pertahanan atau ketenteraan daripada menghadapi serangan musuh. Kesan
daripada gabungan faktor-faktor tersebut maka bermulalah era penjajahan kuasa
asing ke atas Tanah Melayu apabila Kota Melaka akhirnya berjaya ditawan oleh Portugis.
Tanggal
31 Ogos tahun 2012 yang lalu, Negara kita menyambut ulangtahun kemerdekaan yang
ke-55, iaitu lebih kurang 1/8 daripada tempoh 446 tahun Negara kita dijajah.
Syukur yang tidak terhingga kita panjatkan kehadrat Allah s.w.t di atas nikmat kemerdekaan
dan keamanan yang telah kita kecapi selama ini. Tidak dilupakan juga
setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pejuang-pejuang dan wira-wira negara
yang telah berkorban harta benda dan nyawa mereka demi memastikan tanah air
tercinta bebas daripada cengkaman penjajah. Semoga Allah memberi sebaik-baik
balasan buat mereka di sana.
Saudara-saudaraku
sidang jumaat yang dikasihi,
Sudah
menjadi sifat semulajadi manusia, apabila ditimpa sesuatu musibah ataupun
kesusahan maka kita akan segera ingat dan kembali kepada Allah s.w.t serta
sentiasa menyebut-nyebut namaNya, tetapi jika musibah atau kesusahan itu hilang
dan kita diberi sedikit kesenangan dan
kemewahan, manusia mudah lupa diri dan jarang sangat untuk mengingati Allah,
bahkan ada yang lupa terus bahawa dirinya adalah hamba kepada Tuhan yang Maha Esa.
Ibarat kacang lupakan kulit. Sikap dan perangai buruk manusia ini dijelaskan
oleh Allah s.w.t melalui firmanNya,
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Yang
bermaksud : Dan apabila seseorang manusia itu ditimpa kesusahan, maka dia
akan berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri. Tetapi
setelah Kami menghilangkan atau memalingkan kesusahan itu daripadanya serta
memberi kepadanya kesenangan, dia terus kembali dengan perangai lamanya (yakni
sikap buruknya) seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami memohon agar
dihapuskan kesusahan yang menimpanya. Demikianlah, orang yang melampaui batas
itu sentiasa memandang baik terhadap keburukan yang mereka lakukan. ( Yunus 12 )
Ayat
12 dari Surah Yunus ini memberi peringatan kepada kita agar sentiasa mengingati
Allah dan juga mensyukuri nikmatNya sama ada ketika kita senang mahupun susah,
sama ada semasa kita dijajah dan lebih-lebih lagilah setelah kita mencapai kemerdekaan.
Jangan hanya bila ditimpa kesusahan barulah kita ingat dan menyebut-nyebut namaNya
tetapi apabila kita diberi sedikit kesenangan dan kemerdekaan langsung kita
lupa kepadaNya.
Apabila
manusia lupa kepada Allah s.w.t, maka Allah akan menguji dengan menambahkan
lagi kesenangan dan kemewahan sehingga apabila manusia dalam keadaan lalai dan
leka dengan kemewahan dan kesenangan tersebut, lalu Allah s.w.t merampas
kembali nikmat tersebut dalam keadaan mengejut. Allah s.w.t menjelaskan keadaan
ini dalam firmanNya pada ayat 44 dalam Surah Al-Ana’m:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Maksudnya
: Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka
dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan
kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala
nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut
(dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari
mendapat sebarang pertolongan).
Sidang
jumaat yang dikasihi,
Kita
boleh dikatakan amat bertuah dan sememangnya kita bertuah jika dibandingkan
dengan rakyat di negara-negara yang lain. Mereka terpaksa hidup dalam suasana peperangan,
rusuhan, perang saudara, bencana alam dan sebagainya, sedangkan kita di
Malaysia hidup dalam keadaan yang cukup aman dan selesa, mewah dengan segala
jenis nikmat dunia, lebih-lebih lagi setelah lebih 50 tahun Negara merdeka. Berbagai-bagai
nikmat kemewahan hidup yang kita kecapi. Amat malang sekali jika segala nikmat
yang kita kecapi selama ini tidak disyukuri yakni tidak digunakan dengan
sebaiknya, kerana satu perkara yang perlu kita ingat bahawa, tidak ada sesuatu
pun yang kekal di atas muka bumi ini melainkan Allah s.w.t. Dia yang memberi
keamanan dan kesenangan kepada kita dan Dia juga berhak mengambil balik
keamanan dan kemerdekaan pada bila-bila
masa sahaja jika nikmat keamanan dan kemerdekaan yang diberikan tidak disyukuri
dan tidak digunakan dengan sebaiknya. Firman Allah s.w.t,
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
Yang
bermaksud : Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memberitahu, "Demi
sesungguhnya! jika kamu bersyukur di atas nikmat kurniaanku, nescaya Aku akan
tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur atau ingkar
maka sesungguhnya azabKu amatlah keras".
(Ibrahim 7)
Sidang
jumaat moga-moga dirahmati Allah,
Bergembira
menyambut kemerdekaan sebagai tanda kita bersyukur tidaklah menjadi kesalahan.
Demikian juga kita dibolehkan berhibur dengan aturan yang diizinkan oleh syarak.
Namun sambutan kemerdekaan hendaklah tidak menenggelamkan makna kemerdekaan.
Janganlah diajak anak-anak muda berkumpul sambil melaung-laungkan kemerdekaan
bukan kerana jiwa yang merdeka, tetapi hanya sekadar untuk leka dengan hiburan
yang melampau, percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, mengabaikan solat
dan sebagainya.
Perhimpunan-perhimpunan
sepeerti ini jika hanya untuk meramaikan anak-anak muda atau hanya untuk melihat
hiburan-hiburan yang melalaikan semata-mata sementara menunggu detik 12 malam,
tentu tidak mencapai matlamatnya. Kita mengharapkan bersempena dengan 55 tahun
Negara merdeka, maka masyarakat kita akan lebih merdeka dalam erti kata yang
sebenar iaitu merdeka yang benar-benar diredhoi oleh Allah s.w.t. Alangkah
baiknya jika kita sambut kemerdekaan ini dengan mengadakan solat hajat, bacaan
yasin, tahlil dan doa’ untuk para pejuang kemerdekaan dan mereka yang telah
berjasa kepada negara. Bukankah itu lebih membuktikan bahawa kita amat
menghargai nikmat kemerdekaan ini dan juga jasa-jasa mereka. Jangan sekali-kali
kita terikut dengan budaya songsang yang diamalkan oleh masyarakat barat kerana
mereka sememangnya mahu merosakkan akidah dan akhlak anak-anak bangsa kita.
Sama-samalah kita menadah tangan memohon kepada Allah s.w.t agar nikmat
kemerdekaan ini akan terus kita nikmati untuk selamanya dan sama-sama juga kita
pohon kepadaNya agar sejarah penjajahan kuasa asing tidak akan berulang lagi di
tanah air kita . Amin Ya Rabbal A’lamin.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
Yang
bermaksud : Dan jika sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan
bertaqwa, tentu Kami akan membuka kepada mereka (pintu rezeki Kami) yang
melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan
(Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang
telah mereka usahakan. (Al-A’raf 96)
بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ بالْقُرْءَآنِ
الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ
الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ هُوَ
السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ
الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ,
وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ
الرَّحِيْمُ.
Khutbah : Si Tanggang Moden
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى خَلقَ الموْتَ
وَالحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أيُّكُمْ أحْسَنُ عَمَلا، َأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ
إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا
عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ
الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا
اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
أعوذ بالله من الشيطان
الرجيم،
Yang bermaksud: Wahai orang yang beriman!
Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan
laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah
kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu
kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan
sekalian, marilah sama-sama kita
bertaqwa kepada Allah swt dengan kita mentaati segala titah perintahNya,
dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya
kebahagiaan menanti buat mereka yang bertakwa kepadaNya di dunia dan juga di
akhirat.
Yang
bermaksud : Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah
melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua
ibu-bapamu. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai
kepada umur yang tua dan berada dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah
engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan yang kasar) sekalipun
perkataan "Ah!", dan janganlah engkau menengking atau menyergah
mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan
santun).Dan hendaklah engkau merendahkan dirimu kepada keduanya kerana belas
kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata):
"Wahai Tuhanku! cucurilah rahmatmu kepada mereka berdua sebagaimana mereka
telah mencurahkan kasih sayang mereka memelihara dan mendidikku semasa
kecilku". Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu;
kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka
sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang Yang bertaubat.
Saudara-saudaraku
sidang Jumaat yang dikasihi,
Setiap
manusia yang lahir ke dunia sudah semestinya mempunyai ayah dan ibu. Kesibukan
bekerja dan mengumpul harta dunia kadang-kadang menyebabkan kita lalai serta
lupa kepada kedua insan yang amat banyak berjasa kepada kita. Sesuatu yang amat
menyedihkan jika kita telah berjaya dalam kehidupan dunia kita tetapi gagal
untuk memberikan sedikit ruang untuk ayah dan ibu kita sama ada dalam bentuk
masa, wang ringgit serta yang lebih pentingnya adalah perhatian dan kasih
sayang di saat mereka meniti usia tua.
Kadang-kadang
pelbagai alasan dan masalah dicipta dan direka-reka oleh si anak untuk
mengelakkan diri daripada terpaksa menjaga kedua orang tuanya yang mungkin
sudah tua ataupun uzur. Sibuk dengan kerja, tidak ada masa, anak-anak
bersekolah dan sebagainya merupakan alasan yang selalu dilontarkan oleh si anak
jika sekiranya tidak berkesempatan untuk menjenguk kedua mereka di kampung.
Mungkin
ada benarnya kata orang tua-tua zaman dahulu,
"Seorang ibu mampu
menjaga 10 orang anaknya tetapi 10 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang
ibu atau ayahnya".
Siapa sangka anak-anak yang dibela dan dimanja-manjakan
dari sebesar tapak tangan dan ditatang bagaikan minyak yang penuh tapi apabila
mereka dewasa ada yang gamak dan sanggup
menaikkan tangan kepada orang tua mereka. Amat memilukan hati bilamana ada
kalangan anak-anak yang berjaya dalam hidupnya hasil daripada penat lelah serta
pengorbanan ayah dan ibu yang membesar serta mendidiknya tetapi sanggup membiarkan
si ibu atau si ayah keseorangan di kampung halaman tanpa berteman menunggu saat-saat
kematiannya. Tidak kurang juga yang lupa daratan sehingga sanggup menghantar
ayah dan ibunya ke rumah kebajikan dengan alasan masa mereka amat berkualiti dan
tidak sepatutnya dibazirkan untuk menjaga kedua orang tuanya.
Satu
kisah untuk kita jadikan tauladan bersama yang berlaku ketika Saidina Umar
al-Khattab r.a menjadi Khalifah. Satu hari ketika Saidina Umar keluar
berjalan-jalan di sekitar Kota Madinah, beliau ternampak seorang perempuan
menanggung di atas belakangnya seorang laki-laki tua yang telah uzur dan
nyanyuk. Setiap apa kehendak dan kemahuan laki-laki tua itu akan ditunaikan
oleh perempuan tadi sedaya mungkin. Melihat kepada gelagat mereka berdua maka
Saidina Umar pergi bertanya kepada perempuan tersebut, "Siapakah lelaki
ini bagi kamu?", lalu jawap perempuan itu, "Dia adalah ayahku
dan umurnya telah lanjut serta nyanyuk pula, apa jua kehendaknya akan aku tunaikan
sedaya upayaku". Kata Umar kepada perempuan itu, "Sesungguhnya
kamu telah menunaikan tanggungjawap kamu sebagai seorang anak bahkan terlebih
pula". Lalu kata perempuan itu kepada Umar, "Tidak ya
Amiralmu'minin, dahulu ketika aku kecil dia memeliharaku dan sentiasa
mengharapkan agar aku terus hidup dengan sihat sejahtera, tapi kini walaupun
aku menjaga dan melayannya setiap hari sebenarnya dalam hati kecilku
mengharapkan agar dia segera mati supaya senang hidupku".
Saudara-saudaraku
sidang Jumaat yang dikasihi,
Melihat
kepada kisah tersebut maka tidak pelik apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat menyatakan
bahawa mereka terpaksa menggalas bantu tugas memberi nafkah Bantuan Orang Tua
kepada lebih 70,000 warga emas setakat September 2009 sahaja. Lebih mengejutkan
lagi apabila 30 peratus daripada penghuni rumah-rumah kebajikan orang tua di
Malaysia dihantar oleh anak-anak kandung mereka sendiri kerana tidak sanggup
untuk menanggung beban perubatan serta enggan untuk menjaga ayah atau ibu
mereka yang telah tua dan nyanyuk.
Sebuah
hadis yang diriwayatkan daripada Abi ad-Darda' katanya, Rasulullah saw telah
mewasiatkan kepadaku 9 perkara, (1) Jangan kamu syirikkan Allah dengan sesuatu
pun sekalipun kamu dicincang atau dibakar, (2) Jangan sekali-kali meninggalkan
solat 5 waktu, barangsiapa yang meninggalkannya maka terlepaslah dia daripada
tanggungan dan keamanan Allah, (3) Jangan sekali-kali kamu minum arak kerana
itulah punca segala maksiat, (4) Taatlah kamu kepada kedua orang tuamu
sekalipun mereka menyuruh kamu meninggalkan kehidupan duniamu maka tinggalkanlah
untuk mereka, (5) Jangan sekali-kali kamu berebut jawatan atau kuasa sekalipun
kamu layak untuknya, (6) Jangan kamu lari dari medan peperangan sekalipun kamu
kalah dan telah lari kawan-kawanmu, (7) Nafkahkanlah sebahagian daripada hasil
pendapatanmu kepada ahli keluargamu, (8) Jangan kamu pukul anak isterimu tanpa
kebenaran syarak, (9) Takutkanlah mereka kepada Allah swt.
Saudara-saudaraku
sidang Jumaat yang dikasihi,
Seorang
anak tidak mungkin dapat membalas jasa kedua orang tuanya. Itulah hakikat yang tidak
dapat dinafikan oleh kita semua, namun kadang-kadang disebabkan leka dan lalai
dengan kesenangan dunia dan kemewahannya maka kita terlupa untuk membahagiakan
mereka di penghujung usia mereka. Daripada Said bin Abi Burdah katanya,
"Aku
telah mendengar ayahku berkata, dia melihat Ibnu Umar dan juga seorang lelaki
dari Yaman sedangkan melakukan tawaf di Baitullah. Lelaki Yaman itu melakukan
tawaf sambil membawa ibunya di atas belakangnya dan sambil berkata kepada Ibnu
Umar, "Wahai Ibnu Umar, apakah engkau melihat bahawa aku telah membalas
jasa-jasa ibuku kepadaku?". Lalu jawap Ibnu Umar, "Tidak sekali-kali,
bahkan apa yang kamu lakukan itu masih belum mampu untuk membalas sekali kesakitan ibumu sewaktu dia
mahu melahirkanmu".
Mimbar ingin mengambil kesempatan, menyeru diri saya dan juga
saudara-saudara sidang Jumaat sekalian, janganlah kita melangkah keluar dari
rumah Allah yang mulia ini, melainkan setelah kita berjanji kepada Allah swt
dan kepada diri kita sendiri, andainya ada di antara kita dan kedua ibu bapa
kita perselisihan faham atau bermasam muka, maka rebutlah peluang yang masih
ada ini untuk sama-sama kita memperbetulkannya. Jangan tertunggu-tunggu untuk memperbetulkan
kesalahan kita terhadap mereka kerana ajal mereka, atau mungkin ajal kita akan
datang pada bila-bila masa sahaja. Jika masih ada di kalangan kita yang sering
melukakan hati kedua-dua insan mulia ini, maka berjanjilah di dalam tempat yang
mulia ini yang kita akan berbakti kepada mereka selepas ini selagi hayat mereka
ada. Sebagaimana
kita mahukan anak-anak kita berbakti kepada kita di hari tua kita nanti,
begitulah juga perlunya kita berbakti kepada kedua orang tua kita pada hari
ini. Tidak ada maknanya kejayaan dan kemewahan yang kita kecapi pada hari ini
andainya kejayaan dan kemewahan tersebut tidak diiringi dengan doa dan restu
mereka berdua.
Rebutlah peluang yang masih ada
untuk menjaga dan memelihara mereka, lebih-lebih lagi di saat mereka meniti usia
tua, kerana pada saat inilah mereka amat memerlukan kasih sayang dan perhatian dari
kita. Janganlah biarkan hati mereka tertutup untuk tinggal atau singgah di
rumah kita yang seindah istana disebabkan layanan buruk kita atau isteri kita,
atau anak-anak kita terhadap mereka.
Ingatlah sedikit pesanan berguna
dari Rasulullah saw ini, kata Baginda,
"Celakalah dia, celakalah dia,
celakalah dia (sebanyak 3 kali), para sahabat bertanya, "Siapakah dia ya
Rasulallah?", lalu jawap Nabi saw, "Dia ialah siapa yang sempat hidup
sehingga ayah dan ibunya tua atau salah seorang dari keduanya, tetapi dia menjadi ahli neraka
(kerana tidak berbakti kepada orang tuanya sekalipun dia berpeluang untuk
berbuat demikian)."
Barangsiapa di kalangan kita yang telah melakukan ketaatan dan kebaikan
kepada mereka berdua, maka teruskanlah. Jika kedua-dua mereka sudah pergi
menghadap ilahi, maka perbanyakkanlah sedekah untuk pihak mereka di samping
hadiahkanlah mereka dengan doa. Ini sedikit sebanyak akan dapat membantu
meringankan bebanan mereka dan moga-moga mereka bahagia di sana, amin.
بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ بالْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى
وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ
مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ
قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ
الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ,
فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.
Wednesday, 26 September 2012
Khutbah : Khutbah Kedua
الحمدُ لله حمدًا كثيرًا كما أمر ، أشهد أنْ لا إله إلا اللهُ وحدَه لا شريكَ له ، وأشهدُ أنّ سيدَنا محمدًا عبدُه ورسولُه ، اللهمّ صلِّ وسلِّم على سيدِنا محمدٍ وعلى ءاله وأصحابه أجمعين
أما بعد، فيا عبادَ الله ! اتقوا اللهَ مِنْ سِمَاعِ اللغوِ وفضول الخَبَر وانْتهُوا عمَّا نهاكم عنه وزَجَر, فقال تعالى , أعوذ بالله من الشيطان الرجيم, يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظُرْ نفسٌ مَّا قدَّمتْ لغدٍ واتقوا الله إن الله خبيرٌ بما تعملون
وقال تعالى : إن الله وملائكته يصَلون على النبي, يأيها الذين ءامنوا صلوا عليه وسلموا تسليماً. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى ءاله وأصحابه أجمعين . وَارْضَ اللهم عن الخلفاء الراشدين ساداتنا أبى بكر وعمرَ وعثمانَ وعلىٍّ وعن بقية الصحابة والقرابة والتابعين ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين
اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات , والمؤمنين والمؤمنات , الأحياء منهم والأموات , إنك سميع قريب مجيب الدعوات . اللهم إنا نسئلك أن تؤيِّد الإسلامَ والمسلمين, وأن تُعْلِى بفضلك كلمة الحق والدين . اللهم اهدنا سبلَ السلام , وأخرجنا من الظلمات إلى النور ,وجنبنا الفواحشَ ما ظهر منها وما بطن
وأن تشمل بعنايتك وتوفيقك مولانا الملك المعتصم بالله محبَّ الدين السلطانَ الحاج عبدَ الحليم معظم شاه بن المرحوم السلطان بدليشه , اللهم امنحنه الرشاد , ووفقه للسداد , وأصلح به العباد والبلاد , واجعل التقوى له خير زاد , إنك رؤوف رحيم جوَاد , يا لطيفاً بالعباد يا أرحم الراحمين
عبادَ الله ! إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذى القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي , يعظكم لعلكم تذكرون. فاذكروا الله العظيم يذكركم , واشكروه على نعمه يزدكم , واسئلوه من فضله يعطكم , ولذكر الله أكبر, واللهُ يعلم ما تصنعون.
Subscribe to:
Posts (Atom)