الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ
بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ
المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وحده لا شريك له، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ
وَرَسُوْلُهُ
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ
إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا
اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Yang bermaksud: Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan
meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan
apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan
bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang
kamu kerjakan.
Saya
menyeru kepada diri saya dan juga tuan-tuan sidang jumaat sekalian,
marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kita
kepada Allah s.w.t dengan kita melaksanakan segala
suruhanNya dan dalam masa yang sama kita menjauhi segala apa
yang ditegahNya.
Saudara-saudaraku
sidang jumaat yang dikasihi,
Firman
Allah dalam surah al-Anfal ayat 74 :
š
Yang
bermaksud : Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada
jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat
kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu),
merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya, mereka beroleh
keampunan dan limpah kurnia yang mulia.
(al-Anfal 74)
Tirai
1433 hijriah telah pun dilabuhkan bersama 1001 kenangan pahit dan manis, kini tahun
baru 1434 Hijriah telah pun menjelma. Oleh itu, marilah sama-sama kita bermuhasabah
menghitung diri masing-masing samada kuantiti dan kualiti amal ibadah serta
keimanan kita kepada Allah s.w.t semakin bertambah ataupun sebaliknya.
Berubahnya bulan dan tahun bererti bertambahnya umur kita, apabila bertambahnya
umur kita maka semakin dekatlah kita dengan ajal kematian yang memisahkan
antara kehidupan dunia yang fana dengan kehidupan akhirat yang kekal selamanya.
Ia juga memberi faham kepada kita bahawa tempoh untuk kita terus hidup di atas
muka bumi ini semakin berkurangan. Tanyalah diri kita masing-masing tentang
bekalan akhirat yang bakal kita bawa nanti samada semakin bertambah atau
berkurangan, samada banyak pahala ataupun dosa, ibadat ataupun maksiat.
Ingatlah kepada satu pesanan Sayyidina Ali Karramallhu wajhah :
“Apabila
kamu merasa letih kerana melakukan kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu
akan hilang, sedangkan kebaikan yang telah dilakukan itu akan terus kekal.
Sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan
hilang sedangkan dosa yang telah dilakukan terus kekal.”
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada
bulan Zulhijjah yang baru berlalu, kita banyak diperingatkan tentang ibadah
haji dan juga pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim
a.s bersama keluarganya, termasuklah penghijrahan Baginda ke bumi Mekah yang
kering kontang pada waktu itu. Akhirnya bumi Mekah yang gersang itu menjadi
bumi yang subur dan satu tempat tumpuan ramai sehingga ke hari ini, terutama
dengan terbinanya Ka’abah yang mulia.
Manakala
bulan Muharram pula dijadikan bulan untuk memperingati perintah berhijrah
oleh Allah s.w.t kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dari tanahair
tercinta Makkah Al-Mukarramah ke bumi Yathrib yang kemudiannya
ditukar nama kepada Madinah Al-Munawwarah yang bererti Kota yang bercahaya.
Hijrah yang dilakukan memerlukan kepada pengorbanan yang besar demi
melaksanakan segala perintah Allah kerana makna hijrah itu sendiri ialah suatu
pengorbanan untuk membawa perubahan. Tidak ada perubahan ke arah yang lebih
baik dan cemerlang yang tidak memerlukan pengorbanan.
Perubahan
merupakan salah satu tuntutan hidup bagi berubah daripada sesuatu yang buruk
kepada yang baik dan yang baik kepada yang lebih baik, daripada sifat mazmumah
yang dikeji kepada sifat mahmudah yang terpuji, daripada amalan dosa derhaka
kepada amal soleh yang dijanjikan pahala. Oleh itu, ketika menyentuh berkenaan
Hijraturrasul s.a.w maka kita bukan sahaja sekadar menyebut dan mengingati tentang
peristiwa bersejarah itu sahaja tetapi apa yang lebih penting ialah
menghidupkan budaya hijrah ke arah kebaikan dalam diri kita sebagaimana yang disarankan
melalui sebuah hadis Nabi yang berbunyi :
المُسْلِمُ مَنْ
سَلِمَ المُسْلِمُ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَاجَرَ مَا نَهَى
اللهُ عَنْهُ
- رواه البخاري وأبو دأود والنسائي
Maksudnya:
Seorang muslim ialah orang yang saudara muslimnya yang lain selamat dari gangguan
lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah
daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya.
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah,
Antara
pengajaran penting yang dapat kita ambil daripada peristiwa hijrah ialah erti
persaudaraan sebenar yang berjaya ditanam oleh Baginda Nabi s.a.w dalam diri
umat Islam pada ketika itu sehingga perpecahan dan perbalahan sesama sendiri
antara suku kaum Aus dan Khazraj dapat diselesaikan. Begitu juga
persaudaraan antara anak tempatan Madinah yang dipanggil Ansor dengan
umat Islam yang berhijrah dari Mekah yang digelar Muhajirin dapat
disatukan dengan baik atas dasar Islam. Kita dapat saksikan bagaimana hubungan
antara Muhajirin dan Ansor begitu terserlah sebagaimana yang
diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari di dalam Sohihnya yang bermaksud, “
Setelah mereka tiba di Madinah, Rasulullah s.a.w telah mempersaudarakan di
antara Abdul Rahman bin ‘Auf dengan Sa’ad bin Rabi’ di mana Sa’ad telah berkata
kepada Abdul Rahman, “ Saya adalah orang yang paling kaya di kalangan
golongan Ansor. Oleh itu marilah kita bahagi dua harta yang saya miliki ini.
Saya juga mempunyai dua orang isteri, oleh itu pilihlah yang mana satu tuan
suka agar saya ceraikannya, dan setelah tamat ‘iddahnya maka tuan kahwinilah
dia”. Lalu Abdul Rahman bin ‘Auf berkata kepada Sa’ad, “ Mudah-mudahan
Allah memberkati keluargamu dan hartamu. Saya tidak mahu itu semua tetapi
tunjukkanlah kepada saya di mana pasar kamu untuk sama-sama saya berniaga”.
Apabila
Islam dijadikan pegangan utama maka segala masalah dapat diselesaikan termasuklah
membuang perasaan dendam dan permusuhan serta hasad dengki yang membahayakan.
Kita dapat saksikan melalui catatan sejarah di mana bangsa arab Madinah yang
terdiri daripada dua suku bangsa yang berpengaruh iaitu Aus dan Khazraj
berbalah sesama sendiri. Ini menyebabkan golongan Yahudi yang merupakan
penduduk minoriti Madinah pada masa itu dapat hidup dengan senang serta
menguasai ekonomi Madinah. Yahudi mengambil kesempatan di atas perbalahan itu, di
mana satu golongan Yahudi memberi bantuan kepada Aus dan satu golongan Yahudi
yang lain memberi bantuan kepada Khazraj.
Yahudi
telah menjual senjata kepada golongan yang berbalah ini dan akhirnya mereka
dapat mengaut keuntungan yang besar di atas perpecahan antara Aus dan Khazraj.
Oleh itu, menjadi suatu yang tidak pelik apabila zionis Yahudi pada hari ini
menggunakan kuasa besar terutamanya Amerika Syarikat dalam menjajah bumi umat Islam
dengan mewujudkan perpecahan di kalangan umat Islam sambil meniup kembali
semangat asobiyah atau perkauman.
Bumi
Afghanistan
diranapkan selepas umat Islam berpecah dari dalam dan luar negara. Nasib yang
sama menimpa bumi Iraq
apabila Iraq
berjaya ditakluki setelah hancurnya kesatuan umat Islam. Berlakunya peperangan
membolehkan musuh Islam menjajah dan menjual senjata mereka untuk mengaut
sebanyak mungkin keuntungan. Akhirnya musuh Islam bersorak riang di atas
perpecahan umat Islam, menjajah setelah kita berpecah, mengaut keuntungan atas
perbalahan sesama sendiri yang tidak berkesudahan.
Jika
Rasulullah s.a.w berjaya membuang semangat asobiyyah dan menangani masalah
perpecahan sesama sendiri dengan menjadikan Islam sebagai asas perpaduan maka
umat Islam pada hari ini wajib kembali kepada ajaran Islam yang sebenar agar kesatuan
kita akan semakin rapat dan kuat sehingga musuh tidak lagi berani
memperkotak-katikkan kita sesuka hati mereka.
Sabda
Nabi s.a.w melalui sebuah hadis:
إِنَّ أَوْثَقَ عُرَى الإْيمَانِ أَنْ تُحِبَّ فِى
اللهِ وَتَبْغَضَ فِى اللهِ
Maksudnya
: Sesungguhnya sekuat-kuat ikatan iman itu ialah kasihnya kamu kerana
Allah dan bencinya kamu pun kerana Allah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Melalui
ikatan persaudaraan yang dijalinkan atas dasar iman yang dilakukan oleh
Rasulullah s.a.w telah membolehkan sebuah Negara Islam ditegakkan
sehinggakan bukan sahaja sistem pemerintahan, perundangan, ekonomi, dan sosial
berasaskan Islam dapat dilaksanakan malah sistem jahiliah yang menindas seperti
amalan riba’ yang dimonopoli oleh Yahudi akhirnya berjaya dihapuskan.
Sebaliknya
umat Islam pada hari ini akibat longgar dan lemahnya semangat persaudaraan
dengan suburnya kembali semangat kebangsaan disamping ramai dikalangan kita yang
lebih yakin kepada sistem ciptaan kuffar menyebabkan musuh Islam terus
menguasai sistem perundangan, ekonomi, dan sosial umat Islam. Oleh itu suburkanlah
kembali semangat persaudaraan kita dengan sama-sama kita membantu saudara-saudara
kita yang memerlukan bantuan lebih-lebih lagi dalam suasana dunia yang sering
ditimpa bala bencana. Renungilah sebuah hadis Nabi yang diriwayatkan daripada
Abu Hurairah yang berbunyi :-
مَنْ نَفَّسَ عَنْ
مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ
كُرَبِ يَوْمِ القِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ
فِى الدُّنْيَا والآخِرَةِ - رواه مسلم
Yang
bermaksud : ..Sesiapa
yang melapangkan atau menolong seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada
kesusahan dunia nescaya Allah akan melapangkan atau menolong baginya daripada
kesusahan-kesusahan hari qiamat. Dan sesiapa memudahkan atas orang yang sedang
dalam kesusahan maka Allah akan memudahkan baginya kesusahan-kesusahan di dunia
dan juga di akhirat.
Yang bermaksud : Sesiapa yang berhijrah keluar dari
negerinya menuju ke jalan Allah, nescaya dia akan mendapat negeri untuk tempat
tinggalnya serta sumber rezeki yang melimpah-ruah, Dan sesiapa yang keluar dari
rumahnya semata-mata untuk berhijrah kepada Allah dan Rasulnya kemudian dia
mati, maka sesungguhnya dia telah beroleh pahala daripada Allah, dan Allah Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ
بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ
تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ أقول قولى هذا وَاسْتَغْفِرُ
اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ
وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ
المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ