Saturday 24 January 2015

Tokoh Al-Quran - Haji Mat Pintu Geng (1889-1967 Masihiyy)



RIWAYAT HIDUP PENGARANG, TUAN GURU HAJI MUHAMMAD BIN AHMAD AL-KELANTANI (HAJI MAT PINTU GENG 1889-1967 MASIHIYY)
Haji Muhammad bin Ahmad al-Kelantani atau Pak Cu Haji Mat bin Lebai Ahmad bin Tok Kweg Mat Yatim adalah seorang ulamã’ dan ahli dalam ilmu al-Qurãn. Beliau telah mengajar al-Qurãn mengikut kaedah Tajwĩd. Beliau ada menandakan Qirãat Tujuh di dalam al-Qurãn kegunaannya. Haji Muhammad telah mengarang sebuah kitab Tajwĩd penting bertajuk Muqaddimah al-Mubtadi Fĩ Tajwĩd al-Qurãn.
Haji Muhammad telah dilahirkan pada tahun 1307 Hijriyy, bersamaan tahun 1889 Masihiyy di Kampung Paloh, Pintu Geng, Kota Bharu Kelantan. Aminah, ibunya berasal dari Patani, Tahiland, manakala bapanya pula berasal dari Kelantan. Lebai Ahmad meninggal di Mekah pada musim haji, pada waktu itu Haji Muhammad masih kecil lagi. Oleh hal yang demikian beliau di pelihara oleh sepupunya, bernama Halĩmah.
Pada masa kecilnya, Haji Muhammad belajar al-Qurãn dengan Tuan Guru Haji Idrĩs Pasir Kota yang ‘ãlim dalam ilmu al-Qurãn, ilmu Fiqh, ilmu Nahu, ilmu Usũl dan lain-lain.  Haji Idrĩs ini tinggal tidak jauh daripada rumah Haji Muhammad. Jaraknya hanya kira-kira ½ batu saja.
Setelah beliau belajar al-Qurãn dan kitab-kitab kepada Tuan Guru Haji Idrĩs itu, beliau menyambung pelajarannya ke tanah suci Mekah al-Mukarramah. Beliau belajar di sini selama kira-kira lima tahun. Di antara guru-gurunya ialah Tok senggora (Haji Abdullah) dan Haji ‘Umar, seorang ulamã’ dan ahli al-Qurãn yang berasal dari Kampung Kota, Kelantan. Dengan Haji Omar inilah Haji Muhammad mendapat ilmu al-Qurãn yang banyak.
Setelah kembali dari Mekah, beliau membuka sebuah pondok di Kampung Pintu Geng, Kota Bharu pada tahun 1920 Masihiyy. Pondok ini berkembang dan maju, kerana beliau mempunyai kemampuan mengajar dalam bahasa Arab dan Melayu. Di samping mengajar kitab beliau juga mengajar al-Qurãn. Ketika itu kebanyakan guru agama mengajar kitab sahaja, tanpa mengajar al-Qurãn.
Haji Muhammad mengajar al-Qurãn biasa lepas sembahyang Zuhur sehingga waktu asar pada tiap-tiap hari selain daripada hari Jumaat. Oleh kerana kemahsyurannya dalam ilmu Qirãat, maka ramai juga murid-murid yang datang belajar Qirãat dengan beliau, termasuk murid-murid dari Pondok Bunut Payong, Pondok Kenali dan lain-lain.
Kebanyakan mereka yang datang belajar dengannya belajar secara mengaji berbalik. Namun demikian ada juga yang datang berbeluh. Murid-murid yang belajar berbeluh beliau mengajar dengan membaca al-Qurãn kemudian diikuti oleh murid beberapa kali. Tetapi mengajar berbalik, dua atau tiga murid membaca dalam satu masa, jika ada yang tersilap baca beliau menegurnya. Pada akhir hayatnya beliau hanya mengajar secara berbalik sahaja kerana guru-guru yang dapat mengajar berbeluh sudah ramai.
Naskhah al-Qurãn kepunyaan Haji Muhammad ini ditandai dengan tanda-tanda Qirãat kepada para pelajarnya. Al-Qurãn ini ada disimpan oleh anaknya, Hajjah Zainab binti Muhammad yang juga seorang guru al-Qurãn. Haji Muhammad mengajar al-Qurãn selama empat puluh tahun lebih.
Di samping mengajar al-Qurãn beliau juga mengarang sebuah buku Tajwĩd seperti disebut di atas. Buku ini digunakan untuk menjadi panduan dalam pelajaran Tajwĩd. Buku ini selesai dikarang pada tahun 1341 Hijriyy, hari Selasa bersamaan dengan 8 Jumãdilawwal.
Di dalam bukunya itu beliau menulis :
“Ketahui olehmu hai thãlib (murid), bahawasanya menuntut ilmu Tajwĩd itu fardhu ‘ain atas tiap-tiap orang Islam, lelaki dan perempuan yang mukallaf keduanya pada jumlah atas tiap-tiap yang mempunyai qirãah, yakni jika bacaan itu sunat sekalipun atas orang yang tiada baik bacaannya”.
Beliau juga telah memetik kata-kata Syeikh Abũ al-‘Uzza al-Qalãnsyi yang berkata :
“Bahawa Tajwĩd akan al-Qurãn itu fardhu seperti sembahyang, telah datang oleh akhbãr (hadis) dan ayat. Dan yang mengingkari akan Tajwĩd itu maka iaitu kãfir”.
Haji Muhammad juga menjelaskan :
“Bahawasanya wajib atas orang yang membaca al-Qurãn itu bersungguh-sungguh pada memeliharakan segala hurufnya daripada makhrajnya dan sifatnya. Maka tiada hasil yang demikian itu dengan semata-mata mendengar dan melihat daripada kitab atau fikiran melainkan dengan menerima daripada mulut guru yang sahĩh bacaan”.
Haji Muhammad juga telah menjelaskan hukum bacaan al-Qurãn cara berlagu dengan katanya :
“Sunat mengelokkan suara dengan membaca al-Qurãn dan menghiaskan dia atas muafakat dengan Tajwĩd, dan telah menas oleh Imãm al-Syãfi’eyy [rh] di dalam Mukhtasarnya akan bahawasanya tiada mengapa dengan berlagu selama tiada keluar bacaan daripada had al-Qurãn. Dan jika tiada maka adalah berlagu itu haram”.
Haji Muhammad al-Kelantani juga telah menyebut nama-nama Imãm Qurrã’ Tujuh yang masyhur, iaitu :
1.      Nãfi’ Abĩ Nu’aim di Madĩnah al-Munawwarah.
2.      Ibnu Kathĩr Abĩ ‘Abdillah di Mekah al-Mukarramah.
3.      Abu ‘Amru bin al-‘Alã di Basrah.
4.      Ibnu ‘Ãmir Abdullah di Syãm.
5.      Ãsim bin Abĩ al-Najũd di Kũfah.
6.      Hamzah bin Habĩb al-Zayyat di Kũfah.
7.      Kisãi ‘Ali al-Nahwiyy di Kũfah.
Haji Muhammad bin Ahmad al-Kelantani meninggal dunia pada jam 8.53 pagi Selasa 11 Ramadhan tahun 1387 Hijriyy bersamaan 12 Disember 1967 Masihiyy di rumahnya ketika berusia 80 tahun. Beliau meninggalkan beberapa orang muridnya yang menjadi guru al-Qurãn iaitu anak-anaknya sendiri, Haji Daud (Imam Masjid Mukim Pintu Geng), Haji Abdul Rahman dan Hajah Zainab, dan juga Haji Harun Ahmad, (Imam Masjid Pulau Panjang) dan ramai lagi [1].




[1] _Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2), Ismail Che Daud, Terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, m/s : 101

Wednesday 21 January 2015

Khutbah : Hiburan Melampau (Edited)



الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَوةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ الْعَزِيْزُ الْغَفُوْرُ وَأَمَرَ فِعْلَ الخَيْراَتِ وَاَمْتِثاَلَ أَوَامِرِ اللهِ وَاجْتِناَبَ الفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَماَ بَطَنْ، أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَّعَلَى أَلِهِ وأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ اِلىَ َيْومِ الدِّيْنِ.


أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ الله!  اِتَّقُوا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَنَفْسِى بِتَقْوَى الله، فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketakwaan kita kehadrat Allah s.w.t dengan mentaati segala titah perintahnya dan meninggalkan segala laranganNya. Sesungguhnya semulia-mulia insan disisi Allah s.w.t adalah mereka yang paling bertakwa kepadaNya.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Sudah menjadi lumrah kehidupan bahawa kita tidak dapat lari dari berdepan dengan kawan dan lawan. Dalam putaran roda kehidupan kita, kadang-kadang kita dipertemukan dengan kawan dan ada masanya pula kita terpaksa berhadapan dengan lawan atau musuh. Antara lawan atau musuh yang sentiasa mengatur perancangan jahat untuk menghancurkan kita ialah sebagaimana yang diberitahu oleh Allah s.w.t melalui firmanNya;

Yang bermaksud : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan redho atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk) yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tidaklah engkau akan perolehi dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.                                (al-Baqarah 120)
Sidang Jumaat yang dikasihi,

Musuh-musuh Islam sama ada Yahudi mahupun Nasrani sentiasa berfikir dan merancang strategi bagaimana untuk mereka merosak dan menghancurkan umat Islam. Hasil dari kajian yang mereka jalankan mendapati bahawa keimanan dan keyakinan umat Islam terhadap agama mereka adalah begitu teguh. Mereka terpaksa akur bahawa keimanan dan ketaatan umat Islam terhadap agama mereka sukar untuk digugat.

Hasil dari kajian tersebut juga mencetuskan satu formula baru buat mereka iaitu, untuk memecah belahkan umat Islam bukanlah dengan cara menggunakan senjata api, kereta kebal atau peluru berpandu, tetapi cukuplah sekadar menjauhkan dan memesongkan mereka dari ajaran dan tanggungjawap mereka terhadap agama. Strategi yang digunakan ialah dengan menghidangkan buat mereka hiburan yang akan melalaikan mereka, terutama golongan muda, remaja dan belia. 

Kehidupan berpoya-poya yang penuh dengan kelazatan dan keseronokan yang melampau, hiburan sepanjang hari siang dan malam tanpa ada batasan sudah tentu akan melupakan anak-anak muda kita terhadap tanggungjawap mereka kepada agama serta akan menjahilkan mereka dengan ilmu agama. Apabila ini berlaku maka mereka tidak akan lagi memperdulikan apa yang agama suruh dan apa yang agama larang, tidak memperdulikan dosa dan pahala, halal dan haram. Bagi mereka hidup hanya sekali, dan inilah masanya untuk mereka berseronok dan bersukaria tanpa mereka sedar bahawa kematian akan datang menjemput pada bila-bila masa tanpa memperdulikan usia muda mereka. Apabila ini berlaku, maka berjayalah perancangan musuh terhadap kita semua.
Hakikat tentang kehidupan dunia yang penuh dengan keseronokan dan hiburan yang melalaikan ini telah diperingatkan oleh Allah s.w.t beberapa kali dalam al-Quran, di antaranya ialah:
   
Yang bermaksud : Kehidupan dunia ini hanyalah mainan dan  keseronokan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik daripada dunia bagi mereka yang bertakwa, tidakkah kamu berfikir?.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Persoalan utama yang cuba diketengahkan di sini ialah tentang budaya hiburan melampau dan berlebih-lebihan yang melanda segenap lapisan masyarakat, khususnya umat Islam kita pada hari ini, tidak kira golongan muda, remaja mahupun golongan lanjut usia. Kanak-kanak kita sibuk dengan Frozennya, anak-anak muda pula sibuk dengan K-Popnya, golongan dewasa pula sibuk dengan Maharaja Lawak Meganya, dan golongan wargaemas pula sibuk dengan Kilauan Emasnya. Fenomena ini nampaknya semakin sukar untuk dikawal dan merebak dengan begitu pantas. 

Realitinya pada hari ini kita berdepan dengan budaya berhibur yang luar biasa. Kita dihidang dengan berbagai jenis hiburan yang sangat melalaikan dan mengasyikkan. Ada di kalangan masyarakat kita pada hari ini sanggup menghadap peti televisyen berjam-jam lamanya bahkan sehari suntuk tanpa rasa jemu dan bosan, mereka sanggup menghabiskan wang ringgit semata-mata untuk mengirim pesanan ringkas bagi memastikan bintang pujaan mereka dinobatkan sebagai raja atau juara. Masa dan wang dihabiskan begitu sahaja tanpa memberi apa-apa faedah sedikit pun buat mereka apatah lagi untuk agama.

Penyakit suka kepada hiburan melampau ini juga seandainya tidak segera dibendung dan dirawat, dibimbangi akan menyemarakkan lagi wabak penyakit sosial yang telah sedia kritikal, bahkan banyak permasalahan yang melibatkan muda-mudi Islam kita seperti pergaulan bebas tanpa ada batasan sehingga sebahagian mereka sanggup dipeluk dan didakap oleh penyanyi pujaan hati mereka, perlakuan sumbang mahram yang tak henti-henti, zina di kalangan remaja sekolah yang semakin serius, pembuangan anak yang masih tiada kesudahannya, penagihan  dadah dan sebagainya. Ini semua adalah berpunca daripada budaya ingin berhibur dan bersukaria tanpa ada batasan agama, dan kita melihat ianya sebagai satu kejayaan terhadap perancangan musuh-musuh Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita dengan jelas melihat pada hari ini golongan muda-mudi yang bakal menerajui negara suatu hari nanti semakin hanyut diulik dengan hiburan-hiburan yang melalaikan sehingga mereka mengabaikan tanggungjawap mereka terhadap diri  dan agama. Mereka terus menjadi mangsa perancangan musuh-musuh Islam yang mahu melihat generasi muda Islam tidak lagi berupaya membangunkan agama mereka. Bayangkan apakah nasib agama dan negara kita suatu hari nanti seandainya kepimpinan Negara kita diterajui oleh mereka yang jahil agama serta. Sudah tentulah Negara kita akan diterajui dalam keadaan hura-hara dan penuh dengan berbagai masalah serta tidak ada keberkatan dari Allah s.w.t.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Di kesempatan yang masih ada ini, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan memperbaiki setiap kelemahan yang ada demi masa depan agama, bangsa dan tanah air kita. Berpadalah dalam hiburan dan sekadar perlu sahaja. Didiklah anak-anak dengan peraturan agama, dan ajarlah mereka agar tidak mengabaikan tanggungjawap mereka sebagai khalifah dan juga pemegang amanah Allah di atas muka bumi ini. 

Bimbinglah dan dampingilah mereka dengan kasih sayang serta bertolak-ansurlah dalam perkara-perkara yang diharuskan, tetapi bertegaslah dalam perkara-perkara yang diharamkan. Semoga segala usaha dan amal yang kita lakukan akan sentiasa diberkati, di samping itu berdoalah semoga kita dimasukkan ke dalam golongan mukmin yang sentiasa diredhai oleh Allah s.w.t dengan beroleh kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah, dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (al-Munafiqun 9)
 
بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ  بالْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

الخطبة الثانية :
الحمدُ لله حمدًا كثيرًا كما أمر. أشهد أنْ لا إله إلا اللهُ وحدَه لا شريكَ له. وأشهدُ أنّ سيدَنا محمدًا عبدُه ورسولُه. اللهمّ صلِّ وسلِّم على سيدِنا محمدٍ وعلى ءاله وأصحابه أجمعين.
أما بعد، فيا عبادَ الله ! اتقوا اللهَ مِنْ سِمَاعِ اللغوِ وفضول الخَبَر وانْتهُوا عمَّا نهاكم عنه وزَجَر. فقال تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم. يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظُرْ نفسٌ مَّا قدَّمتْ لغدٍ واتقوا الله إن الله خبيرٌ بما تعملون.
وقال تعالى :  إن الله وملائكته يصَلون على النبي، يأيها الذين ءامنوا صلوا عليه وسلموا تسليماً. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى ءاله وأصحابه أجمعين. وَارْضَ اللهم عن الخلفاء الراشدين ساداتنا أبى بكر وعمرَ وعثمانَ وعلىٍّ وعن بقية الصحابة والقرابة والتابعين   ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.
اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم والأموات إنك سميع قريب مجيب الدعوات، اللهم إنا نسئلك أن تؤيِّد الإسلامَ والمسلمين وأن تُعْلِى بفضلك  كلمة الحق والدين. اللهم اهدنا سبلَ السلام وأخرجنا من الظلمات إلى النور وجنبنا الفواحشَ ما ظهر منها وما بطن.
اللهم أنت الله لا إله إلا الله ، أنت الغني ونحن الفقراء ، أنزل علينا الغيثَ ، واجعل ما أنزلتَ علينا قوةً وبلاغًا إلى حين . اللهم اسقِنا غَيْثًا مُغيثًا مَريعًا نافِعًا غير ضارٍّ عاجلًا غيرَ آجِلٍ . اللهم اسْقِ عبادَك وبهائِمَك وانشُرْ رحمتَك واحْيِ بلدَكَ الميِّت . آمين يا رب العالمين . 
وأن تشمل بعنايتك وتوفيقك مولانا الملك المعتصم بالله محبَّ الدين السلطانَ الحاج عبدَ الحليم معظم شاه بن المرحوم السلطان بدليشه، وولىَّ عهده سموَّ الأمير تنكو الحاج عبد الملك بن المرحوم السلطان بدليشه. اللهم امنحنهما الرشاد ووفقهما للسداد وأصلح بهما العباد والبلاد واجعل التقوى لهما خير زاد، إنك رؤوف رحيم جوَاد يا لطيفاً بالعباد يا أرحم الراحمين
عبادَ الله ، إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذى القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي، يعظكم لعلكم تذكرون. فاذكروا الله العظيم يذكركم، واشكروه على نعمه يزدكم واسئلوه من فضله يعطكم، ولذكر الله أكبر , واللهُ يعلم ما تصنعون.