Thursday 26 September 2013

Khutbah : Sulh Hudaibiyah Anak Kunci Kepada Fathu Makkah



الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ ، لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ ، أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وحده لا شريك له ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ ،
 
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ  

قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
 
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah SWT dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat hanyalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.
Firman Allah pada ayat 27 surah al-Fath :
 
Maksudnya : Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; Iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam - insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) - dalam keadaan aman (menyempurnakan Ibadah Umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah mengangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana ia mengetahui (adanya faedah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka ia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunya).

Sidang Jumaat moga-moga dirahmati Allah,

Kita kini berada di penghujung bulan Zulkaedah yang merupakan bulan ke-2 terakhir dalam taqwim Hijrah. Pada bulan ini ramai di kalangan umat Islam dari seluruh dunia termasuk ibu-bapa, adik-beradik, sanak saudara mahu pun sahabat handai kita telah dan akan bertolak menuju ke tanah suci Mekah bagi menunaikan fardhu haji. Kita doakan semoga para jemaah haji diberikan keselamatan sepanjang menunaikan ibadah di Mekah dan dianugerahkan dengan ganjaran haji mabrur yang diidam-idamkan. Sebagaimana sabda Baginda Rasulullah SAW,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُأَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ :  العُمْرَةُ إِلَى العُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، وَالحَجُّ المَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الجَنَّةَ  – مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

Maksudnya : Antara umrah kepada umrah lainnya itu akan menghapuskan dosa di antara keduanya. Dan haji yang mabrur itu tidak ada balasannya melainkan Syurga.
           
Semoga pertemuan umat Islam saban tahun dari seluruh dunia mampu untuk membangkitkan semangat untuk bersatu atas dasar Islam dalam membebaskan kita daripada belenggu penjajahan hawa nafsu dan sistem ciptaan manusia kepada tunduk patuh kepada Allah dan melaksanakan sistem Islam dalam seluruh aspek kehidupan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bulan Zulkaedah juga turut mencatatkan beberapa peristiwa besar dan bersejarah. Antaranya ialah berlangsungnya Perjanjian Hudaibiah atau “Sulh Hudaibiah” pada tahun ke-6 Hijrah antara kaum muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah SAW dengan kafir Quraisy Makkah. Peristiwa ini berlaku apabila rombongan Rasulullah SAW yang ingin menunaikan ibadah umrah telah dihalang daripada memasuki Kota Makkah oleh kafir Quraisy. Quraisy Makkah merasa takut dan gerun apabila melihat ramainya jumlah umat Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW sekalipun kedatangan mereka ke Makkah bukannya untuk berperang tetapi untuk melaksanakan ibadah umrah. 

Akhirnya Rasulullah SAW telah menghantar Sayyidina Uthman bin ‘Affan ke Makkah sebagai wakil untuk berbincang dengan pihak Quraisy Makkah bagi membolehkan umat Islam mengerjakan umrah pada tahun tersebut. Pemergian Sayyidina Uthman yang agak lama tanpa sebarang berita menyebabkan timbulnya cerita bahawa beliau telah dibunuh oleh Quraisy Makkah sehingga akhirnya berlangsunglah “Bai’ah ar-Ridhuan” di bawah sebatang pokok di Hudaibiah bagi menyatakan kesanggupan para sahabat untuk membela Islam walaupun terpaksa menumpahkan darah. Di saat para sahabat sedang berbai’ah, tiba-tiba muncullah Sayyidina Uthman dalam keadaan selamat di mana beliau pun turut sama-sama berbai’ah. 

Quraisy Makkah yang mendapat tahu tentang bai’ah yang dilakukan ini menyebabkan mereka mulai merasa gerun dan takut, lalu mereka segera menghantar Suhail bin A’mru sebagai wakil mereka bagi mengaturkan perdamaian antara mereka dengan Rasulullah SAW. Melalui Perjanjian Hudaibiah inilah walaupun dari segi zahirnya ramai kalangan sahabat yang melihat bahawa ianya tidak menguntungkan Islam tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila Perjanjian Hudaibiah ini menjadi pemangkin sehingga terjadinya Pembukaan Kota Mekah dua tahun selepas itu akibat perlanggaran terhadap bai’ah yang dilakukan oleh  Quraisy Makkah sendiri. Firman Allah SWT pada ayat 56-58 dalam surah al- Anfal :
š 
Maksudnya : (Iaitu) orang-orang yang engkau telah mengikat perjanjian setia dengan mereka, kemudian mereka mencabuli perjanjian setianya pada tiap-tiap kali, sedang mereka tidak mahu memelihara dirinya (dari keaiban mencabuli perjanjian itu).  Oleh itu, jika engkau menemui mereka dalam peperangan maka hancurkanlah mereka (supaya dengan itu) orang-orang yang di belakang mereka (gerun gentar); mudah-mudahan orang-orang itu pula beringat (insaf). Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Di saat ini umat Islam dari seluruh pelusuk dunia sedang berpusu-pusu menuju ke Tanah Suci Makkah bagi melaksanakan rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan fardhu haji. Perhimpunan yang besar ini menggambarkan bahawa agama Islam ditegakkan di atas kesatuan dan kasih sayang sesama muslim. Oleh  itu Allah SWT menjadikan kebanyakan ibadah yang disyariatkan sebagai cara untuk mewujudkan pertemuan dan persatuan antara sesama muslim. Dijadikan pertemuan yang berulang-ulang lima kali sehari di peringkat satu kampung dalam satu Bandar, dan untuk menyusun pertemuan tersebut maka disyariatkan sembahyang berjamaah. Dijadikan untuk mereka pertemuan lain yang berulang sekali seminggu di peringkat satu Bandar atau satu qaryah, dan untuk menyusun pertemuan tersebut  maka disyariatkan sembahyang Jumaat. Dijadikan untuk mereka pertemuan lain yang berulang-ulang setahun sekali di peringkat antarabangsa, dan untuk menyusun pertemuan tersebut maka disyariatkan ibadah haji ke Baitullahil Haram. Firman Allah SWT pada ayat 97 dalam surah ali-I”mran :
  
Maksudnya : Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim, dan sesiapa yang masuk ke dalamnya maka aman tenteramlah dia, dan Allah mewajibkan manusia untuk mengerjakan Ibadah Haji dengan mengunjungi Baitullah, Iaitu bagi sesiapa yang mampu sampai kepadaNya. dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan Ibadah Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha kaya (yakni tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

Saudara-saudaraku Sidang Jumaat yang dikasihi,

Melihat kepada kesungguhan dan pengorbanan yang tinggi oleh jamaah haji kita dalam membuat persiapan melaksanakan ibadah tersebut, maka diharapkan agar ibadah haji yang dilaksanakan itu akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah SWT dengan memperolehi haji yang mabrur. Haji mabrur adalah idaman setiap jamaah haji dan tiada balasan yang dijanjikan oleh Allah SWT untuk haji yang mabrur melainkan syurga kerana ialah sebaik-baik balasan. Sabda Rasulullah SAW :

Mafhumnya: “Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: " Satu umrah dengan umrah yang lain adalah penghapus dosa, dan haji mabrur (diterima) amalannya, tidak dibalas baginya melainkan dengan syurga”(Riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, ganjaran yang besar ini tidak mungkin dapat dicapai dengan begitu mudah. Bahkan ianya menuntut kepada kesabaran, kesukaran, pengorbanan dan cabaran dengan berasaskan kepada kekuatan iman dan taqwa. Secara umumnya, seseorang yang inginkan ibadah hajinya diterima di sisi Allah maka hendaklah dia melaksanakan beberapa pesanan berikut :

Pertama: Niat Yang Ikhlas.

Imam an-Nawawi RH menjelaskan dalam kitab Syarah Muslim bahawa haji yang mabrur adalah yang tidak bercampur dengan dosa dan tidak ada perasaan riak.

Kedua: Sumber Yang Halal Untuk Melaksanakannya.

Di dalam sahih Muslim disebut bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud:

Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah itu baik, dan tidak menerima kecuali yang baik”.(Riwayat Muslim)

Justeru, sewajarnya sebagai seorang yang akan menunaikan ibadah haji meneliti dan bermuhasabah kembali  segala sumber-sumber pendapatan, perbelanjaan, bekalan dan pakaiannya agar semua itu datang daripada sumber yang halal.

Ketiga: Mempelajari Ilmu-ilmu Yang Berkaitan Dengan Ibadah Haji Dan Umrah.

Syeikh Mustafa az-Zarqa’ dalam bukunya “Fatwa Hukum Haji dan Kelebihannya” ketika ditanya makna haji yang mabrur, maka beliau menyatakan di antara ciri-ciri haji yang mabrur dan diterima Allah ialah:

“Hendaklah bagi tuan empunya yang menunaikan haji tidak melampau-lampau di dalam mengerjakan kewajipan haji, tidak mengabaikan adab-adab haji dan sunnah-sunnahnya, memperbanyakkan ketaatan, ibadah, sedekah, menjadi teladan (kepada orang lain) dengan memiliki budi pekerti yang baik, memberi makan sekadar kemampuannya, berkata-kata dengan lembut, dapat mengawal setiap cabaran yang ditempuh, bersikap berlapang dada dan pemaaf, kembalinya dari haji dengan memandang tinggi kehidupan akhirat dan berniat untuk kekal (seperti keadaan tersebut) dan istiqomah”.

Sehubungan itu, mimbar ingin menasihatkan kepada umat Islam supaya berusaha mendalami ilmu yang berkaitan dengan perlaksanaan ibadah haji dan umrah agar segala rukun dan wajib haji dapat dilaksanakan dengan betul dan sempurna sebagaimana yang dikehendaki oleh syara’.

Keempat: Menjauhi Amalan-amalan Yang Dicela.

Perbuatan-perbuatan yang dicela seperti mengumpat, memaki hamun, hasad dengki kepada sesama muslim merupakan perbuatan yang dikutuk oleh Allah SWT yang perlu dijauhi di mana kita tahu tujuan asal kita adalah  untuk menyucikan diri dari segala dosa. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 197:
 
Maksudnya: (Musim) Haji adalah beberapa bulan yang termaklum. Maka sesiapa yang berniat mengerjakan ibadah Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadah Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan diketahui oleh Allah; dan berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa; dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal.”

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Moga-moga dengan kedatangan musim haji pada kali ini akan memberi suntikan semangat buat kita bersama dalam usaha kita untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amal ibadah yang kita lakukan. Sama-samalah kita tanamkan keazaman dalam hati kita untuk sama-sama melaksanakan ibadah korban yang sangat-sangat dituntut oleh Allah SWT bersempena dengan I’dul Adha yang akan menjelang tiba tidak berapa lama lagi. Manusia yang benar-benar beriman kepada Allah SWT sama sekali tidak akan merasa sayang untuk mengorbankan hartanya mahupun jiwa raganya untuk Allah SWT. Inilah ibadah yang paling disukai oleh Allah SWT pada hari-hari I’dil Adha sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

 عن عائشة رضي اللّه عنها قالت : قال رسول اللّه صلى اللّه صلى الله عليه وسلم : ما عَمِلَ ابنُ آدمَ يومَ النحر عملاً أحبَّ إلى اللّه من هِراقة دَم، وإنها لتأتى يوم القيامة بقرونها وأظلافها وأشعارها، وإن الدمَ ليقع من اللّه عز وجل بمكان قبل أن يقعَ على الأرض فطيبوا بها نفساً .

Maksudnya : Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (hari-hari I’nmj ldul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelihan korban), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan. 

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ


الخطبة الثانية :

الحمدُ لله حمدًا كثيرًا كما أمر. أشهد أنْ لا إله إلا اللهُ وحدَه لا شريكَ له. وأشهدُ أنّ سيدَنا محمدًا عبدُه ورسولُه. اللهمّ صلِّ وسلِّم على سيدِنا محمدٍ وعلى ءاله وأصحابه أجمعين.

أما بعد، فيا عبادَ الله ! اتقوا اللهَ مِنْ سِمَاعِ اللغوِ وفضول الخَبَر وانْتهُوا عمَّا نهاكم عنه وزَجَر. فقال تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم. يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظُرْ نفسٌ مَّا قدَّمتْ لغدٍ واتقوا الله إن الله خبيرٌ بما تعملون.

وقال تعالى :  إن الله وملائكته يصَلون على النبي، يأيها الذين ءامنوا صلوا عليه وسلموا تسليماً. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى ءاله وأصحابه أجمعين. وَارْضَ اللهم عن الخلفاء الراشدين ساداتنا أبى بكر وعمرَ وعثمانَ وعلىٍّ وعن بقية الصحابة والقرابة والتابعين   ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.

اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم والأموات إنك سميع قريب مجيب الدعوات، اللهم إنا نسئلك أن تؤيِّد الإسلامَ والمسلمين وأن تُعْلِى بفضلك  كلمة الحق والدين. اللهم اهدنا سبلَ السلام وأخرجنا من الظلمات إلى النور وجنبنا الفواحشَ ما ظهر منها وما بطن.

وأن تشمل بعنايتك وتوفيقك مولانا الملك المعتصم بالله محبَّ الدين السلطانَ الحاج عبدَ الحليم معظم شاه بن المرحوم السلطان بدليشه، وولىَّ عهده سموَّ الأمير تنكو الحاج عبد الملك بن المرحوم السلطان بدليشه. اللهم امنحنهما الرشاد ووفقهما للسداد وأصلح بهما العباد والبلاد واجعل التقوى لهما خير زاد، إنك رؤوف رحيم جوَاد يا لطيفاً بالعباد يا أرحم الراحمين.

عبادَ الله ، إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذى القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي، يعظكم لعلكم تذكرون. فاذكروا الله العظيم يذكركم، واشكروه على نعمه يزدكم واسئلوه من فضله يعطكم، ولذكر الله أكبر ,اللهُ يعلم ما تصنعون.