Sunday 3 March 2013

Khutbah : Semakin Tunduk Semakin Berisi


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ ، لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ ، أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وحده لا شريك له ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ ، 
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ .
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat adalah berdasarkan kepada keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam pada  18-19   dalam surah Luqman  :
  
Maksudnya :  "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai". [1]

Kemenangan atau kejayaan dalam sesuatu perkara adalah merupakan  antara  nikmat  yang dianugerahkan  oleh  Allah  SWT kepada kita yang  sepatutnya  kita  sambut  dengan  penuh  rasa rendah diri dan kesyukuran kepadaNya.  Antara  sifat  yang  sepatutnya  ada  dalam  diri  seseorang muslim dalam kehidupannya ialah  sifat  tawadhu’ atau merendah diri.

Sifat Tawadhu’  ini  mengikut  pandangan beberapa  orang  tokoh  ulama’,  di antaranya  al-Fudhail  bin  ‘Iyadh  ketika  ditanya  apakah  erti  tawadhu’?, lalu kata beliau :- 

“Tawadhu’ ialah tunduk  kepada  kebenaran  dan  menerima  segala  anjuran  Allah  dan   rasulNya”. 

Al-Junaid  pula  berkata   bahawa :-  

“Tawadhu’  ialah  merendahkan  diri  kepada  Khalik (pencipta)  dan  merasa  kemanisan  berhubung  dengan  Allah”. 

Antara pengertian lain yang disebut oleh ulama’ ialah :

“Menerima kebenaran daripada sesiapa sahaja jika sekiranya  apa yang diperkatakan itu adalah benar, sekalipun kebenaran itu datang dari orang yang lebih muda darinya atau lebih rendah pangkat kedudukannya atau datang dari orang yang lebih miskin darinya”. [2]

Dari  sini  bolehlah  dirumuskan  bahawa  tawadhu’  adalah  ibarat  daripada  khusyu’  hati  dan  rendah  diri  seluruh  anggota tubuh badan  dengan tunduk serta patuh kepada perintah Allah SWT sepenuhya.  Islam  melarang umatnya daripada  bersifat  dengan sifat al-kibr atau sombong,  kerana  orang yang sombong  akan   mengingkari dan menolak kebenaran  sebagaimana sabda Nabi SAW,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِى قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ . قَالَ رَجُلٌ :  إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً. قَالَ : إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ ، الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ . [3]
             
Maksudnya : “Tidak akan masuk ke syurga barangsiapa yang di dalam hatinya ada sifat al-kibr (sombong) sekalipun sebesar zarrah”. Lalu seorang lelaki berkata, “sesungguhnya seorang laki-laki itu suka pakaiannya cantik, kasutnya cantik (apakah ini termasuk dalam sifat sombong?)”, lalu jawap Nabi SAW, “Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka pula akan kecantikan, sifat al-kibr (sombong) itu ialah menidakkan akan kebenaran (tidak menerima sesuatu sekalipun benar) serta menghina manusia lain”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
           
Kita  dapat  lihat  bagaimana  Rasulullah  SAW  telah  memerintahkan  agar  sebarang  bentuk  kesyirikan  kepada  Allah  mestilah  dihapuskan  terlebih  dahulu  di sekitar  Ka’bah  apabila  baginda  memerintah  agar  para  sahabat  menghancurkan  berhala-berhala yang ada di sekitar kota Makkah  ketika  Islam berjaya menguasai Kota Makkah. Baginda  tidak sama sekali  menyambut  kemenangan  yang  gemilang  itu  dengan  perayaan-perayaan  yang  melalaikan.

Begitu  juga  dengan  peristiwa  penyerahan  anak  kunci  masjid  al-Aqsa  yang  berjaya  di buka oleh  tentera  Islam  pada  zaman  Sayyidina  Umar  al-Khottab RA.  Ketika  menuju  ke Palestin,  Sayyidina  Umar RA  bergilir-gilir  dengan  khadamnya dalam  menaiki  kuda  tunggangan. Apabila  sampai  berhampiran  masjid   al-Aqsa  maka  ketika  itu  tiba  giliran  Sayyidina  Umar   menarik  kuda manakala  khadamnya  menunggang keldai tersebut. Orang  ramai  yang  melihat  peristiwa  tersebut  terus  meminta  agar  Sayyidina  Umar  menggantikan  khadamnya  untuk  menunggang  kuda  tersebut demi menjaga  kedudukan  beliau  sebagai  khalifah  di hadapan  khalayak  ramai.  Lalu  Sayyidina  Umar  dengan  suaranya  yang  lantang  mengeluarkan  kata-katanya  yang  masyhur  :

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما نبتغي العزة بغير ما أعزنا الله أذلنا الله

Maksudnya  :  Kita  adalah  suatu  kaum  yang  dimuliakan  oleh  Allah  dengan  Islam.   Selama  mana  kita  mencari  kemuliaan  yang  bukan  apa  yang  memuliakan  kita  dengannya   oleh Allah, maka  Allah SWT pasti akan menghina kita
           
Sejarah juga menceritakan  bagaimana  Sultan  Muhammad   al-Fateh  setelah  berjaya  membuka  kota  Konstantinapol  iaitu   dikenali  dengan  kota  Istanbul, Turki  sekarang  ini  di mana  beliau  telah  memasuki  sebuah  gereja  yang terbesar  pada  masa itu  yang  dinamakan  Sofia  lalu  menunaikan  solat  sunat   dua  rakaat  sebagai tanda  kesyukuran di atas kemenangan tersebut.  Kemudian  beliau  menukarkan  gereja  tersebut  menjadi sebuah masjid.

Sidang  Jumaat  yang  dihormati  sekalian,
           
Orang-orang  yang  bersifat  tawadhu’  adalah  orang  yang  dapat  melayakkan  dirinya  dalam  pelbagai  bidang terutamanya untuk menjadi pemimpin dalam masyarakat. Sifat  tawadhu’  bukanlah  bererti  seseorang  itu  lemah, merasa  hina  diri  atau  rendah  diri  terhadap  orang  atas,  ataupun merasa  diri  kurang  berbanding  orang  lain . Ini  adalah  kerana  sifat  tawadhu’  yang  sebenar  adalah sifat  yang  mulia  yang  mampu  menimbulkan  ketenangan dan kekuatan  jiwa  serta melemahkan pihak musuh.
           
Sebagaimana  yang disebut dalam sejarah,  bahawa Baginda Rasulullah  SAW  menjahit  kasut dengan tangan Baginda sendiri dan  menampung  pakaiannya yang koyak  tetapi  dalam  masa  yang  sama  baginda  tetap mampu  melaksanakan urusan  rumahtangga  dan  kepimpinan  negara  dengan  baik  dan saksama.  Sekalipun  baginda  merupakan  seorang  pemimpin  negara  dan  ketua  agama  namun  baginda juga  melakukan  kerja-kerja  kecil  samaada  berbentuk  peribadi  mahupun  negara. Inilah di antara contoh sifat tawadhu’ yang tinggi dalam peribadi Baginda Nabi SAW.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
           
Sifat  tawadhu’  ini  bukanlah  menjatuhkan  martabat  pemimpin  kepada  kelas  bawahan,  malah  sifat  inilah  yang  akan  meningkatkan  lagi  martabat  kepimpinan  yang  mana  mereka akan  dihormati  oleh  setiap  lapisan  masyarakat. Sabda Nabi SAW,

عن أبي هريرة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : " ما نقصت صدقةٌ من مال ، وما زاد الله عبداً بعفوٍ إلا عزّاً ، وما تواضع أحدٌ لله إلا رفعه الله " . [4]

Maksudnya : “Tidak mengurangi sedekah daripada harta (yakni harta tidak akan kurang dengan sebab sedekah), dan tidak menambah oleh Allah kepada seseorang dengan sebab mengampunkan kesalahan orang lain terhadapnya melainkan kemuliaan untuknya, dan tidaklah merendah diri seseorang itu kerana Allah melainkan Allah mengangkat kedudukannya”.

Tidak  syak  lagi  bahawa  sifat  tawadhu’  ini  adalah  satu  sifat  yang  mulia   di  sisi  Allah  dan  dihormati  oleh  masyarakat  umum. Ianya  akan  melahirkan  rasa  kasih  sayang  antara  sesama muslim, lemah-lembut dan bertimbang  rasa  terhadap  saudara  seagama, mudah  mesra  ketika  berbicara  serta  tidak  ada  rasa  bangga  diri  dan  sombong. Rakyat di bawah akan lebih menyenangi dan mengasihi seorang pemimpin yang tawadhu’, namun sebaliknya jika tidak ada sifat  tawadhu’  ini dalam diri seseorang itu maka  dia  tidak akan mampu  menjalankan  usaha-usaha  kepimpinan dan dakwah  ke jalan  Allah,  kerana  manusia secara fitrahnya  tidak  suka  kepada  orang-orang  yang  takabbur  atau sombong bahkan  sifat  takabbur  itu  sendiri  akan  lebih  menjauhkan  manusia  daripadanya disebabkan benci, meluat dan sebagainya. Firman Allah SWT,

Maksudnya : Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu, oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu, kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. [5]

    
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ



[1] Luqman 18-19
[2] http://www.daawa-info.net/books1.php?id=3325&bn=107&page=15
[3] Riwayat Imam Muslim
[4]  رواه مسلم ( 2588 ) وبوَّب عليه النووي بقوله " استحباب العفو والتواضع .
[5] Ali-Imran 159