اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى خَلقَ الموْتَ وَالحَيَاةَ
لِيَبْلُوَكُمْ أيُّكُمْ أحْسَنُ عَمَلا، َأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ
وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ
وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا
عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ
فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Yang bermaksud: Wahai orang yang
beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan
laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah
kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu
kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Saudara-saudaraku siding Jumaat
yang dikasihi,
Saya berpesan kepada diri saya dan
tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita
bertaqwa kepada Allah swt dengan kita mentaati segala titah perintahNya,
dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya.
Sesungguhnya kebahagiaan menanti buat mereka yang bertakwa kepadaNya di dunia
dan juga di akhirat.
Firman Allah S.W.T
dalam ayat 27-28 surah as-Syura :
Maksudnya: Dan
jika sekiranya Allah swt memewahkan rezeki kepada sekalian hambaNya nescaya
mereka akan melampaui batas di muka bumi ini (dengan perbuatan liar). Tetapi
Allah swt menurunkan rezeki itu mengikut kadar tertentu sebagaimana yang
dikehendakinya. Sesungguhnya Dia mengetahui secara mendalam tentang keadaan
hambaNya lagi Maha Melihat dengan nyata. Dan Dialah yang menurunkan hujan
setelah mereka berputus asa dan Dia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata. Dan
ingatlah bahawa Dialah Pengawal yang melimpahkan ihsanNya lagi Amat Terpuji.
Sidang Jumaat yang
dihormati sekalian
Nikmat kurniaan Allah
swt kepada seluruh makhluk ciptaanNya amat banyak sehinggakan tidak mungkin mampu
dihitung jumlahnya. Setiap anugerah nikmat ini mestilah disambut dengan penuh rasa
syukur dan terima kasih, dan apa yang lebih penting ialah ianya mestilah digunakan
kearah memperbanyakkan lagi ibadah serta
ketaatan kepada Allah swt pada setiap masa dan ketika. Kita
juga mesti ingat bahawa segala kebaikan yang diturunkan oleh Allah swt ke atas
hambaNya adalah bergantung kepada baiknya amalan kita terhadapNya. Begitu juga
dengan curahan keberkatan dan kebaikan dari langit adalah disebabkan manusia sentiasa
berusaha untuk menjauhkan diri daripada jalan-jalan kesesatan yang memesongkan
mereka daripada jalan Islam yang sebenar.
Sebagai
manusia, kita sentiasa berdoa memohon dan menaruh harapan kepada Allah agar
rezeki yang kita perolehi itu ada bersama-samanya keberkatan dan keredhaan daripada Allah swt.
Di samping itu, kita juga mengharapkan agar Allah swt tidak menjadikan rezeki
yang kita terima sebagai suatu pemberian yang tidak ada bersamanya keberkatan dan
keredhaan darinya yang mana akhirnya menyebabkan kita mendapat kerugian di
dunia dan juga akhirat,والعياذ بالله من ذلك.
Saudara-saudaraku
sidang Jumaat yang dikasihi,
Ketika
kita dianugerahkan rezeki yang bermacam-macam maka ada masanya di mana Allah swt
menahan nikmatNya sebagai satu ujian untuk menguji tahap kesabaran dan keredhaan
manusia dalam menghadapi bala’ tersebut, ataupun ianya juga merupakan suatu
peringatan dan pengajaran kepada mereka yang melakukan kezaliman dan melampau agar
kembali kepada Allah swt. Antara bentuk bala’ daripada Allah swt ialah, Dia
tidak menurunkan hujan dengan cuaca panas yang begitu terik sehingga
menyebabkan manusia dan binatang menghadapi kesukaran, pokok-pokok dan tanam-tanaman
turut kekeringan dan sebagainya.
Islam
memberi tunjuk ajar yang sempurna kepada umatnya agar mencari jalan dalam
menghadapi sebarang ujian yang datang. Antara apa yang diajar oleh Islam ialah perbanyakkan
istighfar bagi memohon keampunan dari Allah swt di atas segala dosa dan
kesilapan yang telah dilakukan. Kemudian
dalam masa yang sama jangan pula kita campur adukkan antara ibadah dan maksiat
sehingga menjadi punca kepada lebih banyak bala’ Allah swt yang turun seumpama penganjuran
pesta-pesta dan program-program yang dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti maksiat
yang mana ianya menjadi bukti bahawa kita tidak bersungguh-sungguh untuk
bertaubat dan kembali kepada Allah swt.
Sebuah
hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah saw bersabda yang
bermaksud:
"Wahai
kaum Muhajirin! Ada 5 perkara di mana jika telah menimpa kamu maka tiada lagi
kebaikan bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah swt agar kamu tidak menemui
zaman itu. 5 perkara itu ialah :
[1]
Tidak bermaharajalela perbuatan zina pada suatu kaum sehingga mereka berani
secara terang-terang melakukannya melainkan mereka akan ditimpa penyakit
berjangkit yang merebak dengan cepat dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit
yang belum pernah menimpa umat-umat yang lain.
[2]
Tiada mereka mengurangi sukatan atau timbangan dalam perniagaan melainkan
mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan dalam mencari rezeki
serta berhadapan dengan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.
[3]
Dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda melainkan ditahan juga untuk
mereka air hujan dari langit. Jika tiada binatang yang hidup di muka bumi ini
nescaya mereka tidak diberikan hujan oleh Allah swt.
[4]
Dan tiada mereka menyalahi akan janji Allah swt dan rasulNya melainkan Allah swt
akan menurunkan kepada mereka musuh yang akan merampas sebahagian daripada apa
yang ada di tangan mereka.
[5]
Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang
terkandung di dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan utama
maka Allah akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri.
Firman
Allah S.W.T dalam ayat 10-12 surah Nuh :
Maksudnya:
Pohonlah keampunan daripada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun.
Akan dikirimkan oleh Allah kepada kamu awan yang menurunkan hujan lebat.
Diberikan oleh Allah kepada kamu kekayaan harta dan anak-anak serta diadakan
kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu.
Sidang
Jumaat yang moga-moga dirahmati Allah,
Melihat
kepada arahan dan amaran daripada Allah swt dan rasulNya agar kita sentiasa
bertaubat dengan segala dosa serta mematuhi segala perintah dan menjauhi segala
apa yang ditegah, maka sepatutnya kita lebih sedar tentang kesalahan kita yang
menjadi punca kepada turunnya sesuatu bala’ daripada Allah swt. Apa yang lebih penting
ialah, kita hendaklah istiqamah dan berada di atas landasan Islam yang sebenar serta
menghindarkan diri dari segala jalan yang membawa kepada kesesatan serta
mengundang kemurkaan Allah swt.
Firman Allah S.W.T
dalam ayat 16 surah al-Jin ,
Maksudnya:
Dan sesungguhnya jika mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas
landasan Islam maka sudah tentu Kami menurunkan hujan lebat kepada mereka.
Sidang
Jumaat yang dikasihi,
Kebatilan
dan maksiat hendaklah ditentang dengan penuh ketegasan sehingga datangnya kemenangan
dan keredhaan dari Allah swt. Takut untuk menegur serta mencegah segala bentuk kemungkaran
yang berlaku di sekeliling kita akan mengundang bala’ dari Allah swt, dan apabila
telah turun bala’ dari Allah maka ianya akan menyeluruh bukan tertentu kepada
pembuatnya sahaja.
Firman
Allah dalam ayat 55-56 surah al-A’raf :
Maksudnya
: Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut, sesungguhnya
Allah S.W.T tidak menyukai mereka yang melampaui batas. Dan janganlah kamu
membuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah S.W.T memperbaikinya dan berdoalah
kepadaNya dengan penuh perasaan takut dan mengharap. Sesungguhnya rahmat Allah
S.W.T amat dekat kepada mereka yang berbuat baik.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي
وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ
مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ
اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ
وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ
المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ