Thursday 15 November 2012

Khutbah : Iktibar Hijrah Rasulullah SAW


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وحده لا شريك له، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
 

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saya  menyeru kepada diri saya dan juga tuan-tuan sidang jumaat sekalian,  marilah sama-sama kita tingkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  s.w.t dengan kita melaksanakan  segala  suruhanNya  dan dalam masa yang sama kita  menjauhi  segala apa  yang  ditegahNya.
 
Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 74 :

š
Yang bermaksud : Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya, mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.                                                  (al-Anfal 74)

Tirai 1433 hijriah telah pun dilabuhkan bersama 1001 kenangan pahit dan manis, kini tahun baru 1434 Hijriah telah pun menjelma. Oleh itu, marilah sama-sama kita bermuhasabah menghitung diri masing-masing samada kuantiti dan kualiti amal ibadah serta keimanan kita kepada Allah s.w.t semakin bertambah ataupun sebaliknya. Berubahnya bulan dan tahun bererti bertambahnya umur kita, apabila bertambahnya umur kita maka semakin dekatlah kita dengan ajal kematian yang memisahkan antara kehidupan dunia yang fana dengan kehidupan akhirat yang kekal selamanya. Ia juga memberi faham kepada kita bahawa tempoh untuk kita terus hidup di atas muka bumi ini semakin berkurangan. Tanyalah diri kita masing-masing tentang bekalan akhirat yang bakal kita bawa nanti samada semakin bertambah atau berkurangan, samada banyak pahala ataupun dosa, ibadat ataupun maksiat. Ingatlah kepada satu pesanan Sayyidina Ali Karramallhu wajhah :  

“Apabila kamu merasa letih kerana melakukan kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang, sedangkan kebaikan yang telah dilakukan itu akan terus kekal. Sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang sedangkan dosa yang telah dilakukan terus kekal.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada bulan Zulhijjah yang baru berlalu, kita banyak diperingatkan tentang ibadah haji dan juga pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s bersama keluarganya, termasuklah penghijrahan Baginda ke bumi Mekah yang kering kontang pada waktu itu. Akhirnya bumi Mekah yang gersang itu menjadi bumi yang subur dan satu tempat tumpuan ramai sehingga ke hari ini, terutama dengan terbinanya Ka’abah yang mulia.

Manakala bulan Muharram pula dijadikan bulan untuk memperingati perintah berhijrah oleh Allah s.w.t kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dari tanahair tercinta Makkah Al-Mukarramah ke bumi Yathrib yang kemudiannya ditukar nama kepada Madinah Al-Munawwarah yang bererti Kota yang bercahaya. Hijrah yang dilakukan memerlukan kepada pengorbanan yang besar demi melaksanakan segala perintah Allah kerana makna hijrah itu sendiri ialah suatu pengorbanan untuk membawa perubahan. Tidak ada perubahan ke arah yang lebih baik dan cemerlang yang tidak memerlukan pengorbanan. 

Perubahan merupakan salah satu tuntutan hidup bagi berubah daripada sesuatu yang buruk kepada yang baik dan yang baik kepada yang lebih baik, daripada sifat mazmumah yang dikeji kepada sifat mahmudah yang terpuji, daripada amalan dosa derhaka kepada amal soleh yang dijanjikan pahala. Oleh itu, ketika menyentuh berkenaan Hijraturrasul s.a.w maka kita bukan sahaja sekadar menyebut dan mengingati tentang peristiwa bersejarah itu sahaja tetapi apa yang lebih penting ialah menghidupkan budaya hijrah ke arah kebaikan dalam diri kita sebagaimana yang disarankan melalui sebuah hadis Nabi yang berbunyi :

المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَاجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ 
- رواه البخاري وأبو دأود والنسائي

Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang saudara muslimnya yang lain selamat dari gangguan lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Antara pengajaran penting yang dapat kita ambil daripada peristiwa hijrah ialah erti persaudaraan sebenar yang berjaya ditanam oleh Baginda Nabi s.a.w dalam diri umat Islam pada ketika itu sehingga perpecahan dan perbalahan sesama sendiri antara suku kaum Aus dan Khazraj dapat diselesaikan. Begitu juga persaudaraan antara anak tempatan Madinah yang dipanggil Ansor dengan umat Islam yang berhijrah dari Mekah yang digelar Muhajirin dapat disatukan dengan baik atas dasar Islam. Kita dapat saksikan bagaimana hubungan antara Muhajirin dan Ansor begitu terserlah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari di dalam Sohihnya yang bermaksud, “ Setelah mereka tiba di Madinah, Rasulullah s.a.w telah mempersaudarakan di antara Abdul Rahman bin ‘Auf dengan Sa’ad bin Rabi’ di mana Sa’ad telah berkata kepada Abdul Rahman, “ Saya adalah orang yang paling kaya di kalangan golongan Ansor. Oleh itu marilah kita bahagi dua harta yang saya miliki ini. Saya juga mempunyai dua orang isteri, oleh itu pilihlah yang mana satu tuan suka agar saya ceraikannya, dan setelah tamat ‘iddahnya maka tuan kahwinilah dia”. Lalu Abdul Rahman bin ‘Auf berkata kepada Sa’ad, “ Mudah-mudahan Allah memberkati keluargamu dan hartamu. Saya tidak mahu itu semua tetapi tunjukkanlah kepada saya di mana pasar kamu untuk sama-sama saya berniaga”. 
    
Apabila Islam dijadikan pegangan utama maka segala masalah dapat diselesaikan termasuklah membuang perasaan dendam dan permusuhan serta hasad dengki yang membahayakan. Kita dapat saksikan melalui catatan sejarah di mana bangsa arab Madinah yang terdiri daripada dua suku bangsa yang berpengaruh iaitu Aus dan Khazraj berbalah sesama sendiri. Ini menyebabkan golongan Yahudi yang merupakan penduduk minoriti Madinah pada masa itu dapat hidup dengan senang serta menguasai ekonomi Madinah. Yahudi mengambil kesempatan di atas perbalahan itu, di mana satu golongan Yahudi memberi bantuan kepada Aus dan satu golongan Yahudi yang lain memberi bantuan kepada Khazraj

Yahudi telah menjual senjata kepada golongan yang berbalah ini dan akhirnya mereka dapat mengaut keuntungan yang besar di atas perpecahan antara Aus dan Khazraj. Oleh itu, menjadi suatu yang tidak pelik apabila zionis Yahudi pada hari ini menggunakan kuasa besar terutamanya Amerika Syarikat dalam menjajah bumi umat Islam dengan mewujudkan perpecahan di kalangan umat Islam sambil meniup kembali semangat asobiyah atau perkauman. 

Bumi Afghanistan diranapkan selepas umat Islam berpecah dari dalam dan luar negara. Nasib yang sama menimpa bumi Iraq apabila Iraq berjaya ditakluki setelah hancurnya kesatuan umat Islam. Berlakunya peperangan membolehkan musuh Islam menjajah dan menjual senjata mereka untuk mengaut sebanyak mungkin keuntungan. Akhirnya musuh Islam bersorak riang di atas perpecahan umat Islam, menjajah setelah kita berpecah, mengaut keuntungan atas perbalahan sesama sendiri yang tidak berkesudahan.

Jika Rasulullah s.a.w berjaya membuang semangat asobiyyah dan menangani masalah perpecahan sesama sendiri dengan menjadikan Islam sebagai asas perpaduan maka umat Islam pada hari ini wajib kembali kepada ajaran Islam yang sebenar agar kesatuan kita akan semakin rapat dan kuat sehingga musuh tidak lagi berani memperkotak-katikkan kita sesuka hati mereka.
Sabda Nabi s.a.w melalui sebuah hadis:
إِنَّ أَوْثَقَ عُرَى الإْيمَانِ أَنْ تُحِبَّ فِى اللهِ وَتَبْغَضَ فِى اللهِ

Maksudnya : Sesungguhnya sekuat-kuat ikatan iman itu ialah kasihnya kamu kerana Allah dan bencinya kamu pun kerana Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 
     
Melalui ikatan persaudaraan yang dijalinkan atas dasar iman yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w telah membolehkan sebuah Negara Islam ditegakkan sehinggakan bukan sahaja sistem pemerintahan, perundangan, ekonomi, dan sosial berasaskan Islam dapat dilaksanakan malah sistem jahiliah yang menindas seperti amalan riba’ yang dimonopoli oleh Yahudi akhirnya berjaya dihapuskan. 

Sebaliknya umat Islam pada hari ini akibat longgar dan lemahnya semangat persaudaraan dengan suburnya kembali semangat kebangsaan disamping ramai dikalangan kita yang lebih yakin kepada sistem ciptaan kuffar menyebabkan musuh Islam terus menguasai sistem perundangan, ekonomi, dan sosial umat Islam. Oleh itu suburkanlah kembali semangat persaudaraan kita dengan sama-sama kita membantu saudara-saudara kita yang memerlukan bantuan lebih-lebih lagi dalam suasana dunia yang sering ditimpa bala bencana. Renungilah sebuah hadis Nabi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah yang berbunyi :-

 مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ القِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِى الدُّنْيَا والآخِرَةِ     - رواه مسلم

Yang bermaksud : ..Sesiapa yang melapangkan atau menolong seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan dunia nescaya Allah akan melapangkan atau menolong baginya daripada kesusahan-kesusahan hari qiamat. Dan sesiapa memudahkan atas orang yang sedang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkan baginya kesusahan-kesusahan di dunia dan juga di akhirat.
  
Yang bermaksud : Sesiapa yang berhijrah keluar dari negerinya menuju ke jalan Allah, nescaya dia akan mendapat negeri untuk tempat tinggalnya serta sumber rezeki yang melimpah-ruah, Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya semata-mata untuk berhijrah kepada Allah dan Rasulnya kemudian dia mati, maka sesungguhnya dia telah beroleh pahala daripada Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ  بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ أقول قولى هذا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ